suria

Usaha Berterusan Seru Kebaikan Lahirkan Masyarakat Harmoni

KUALA LUMPUR: Kewujudan masyarakat Malaysia yang harmoni ketika ini terhasil daripada usaha berterusan pelbagai pihak yang sentiasa menyeru kepada kebaikan, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata untuk itu, budaya menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran harus terus disemarakkan, lebih-lebih lagi dalam konteks masyarakat Malaysia yang semakin kompleks hari ini.

"Dalam konteks masyarakat kita yang semakin kompleks hari ini, ditambah dengan kemunculan beberapa gejala boleh melalaikan umat daripada mentaati perintah Allah, maka sewajarnya kita menyemarakkan budaya al-amr bil ma'ruf dan al-nahyu anil-munkar, iaitu menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran dalam masyarakat kita.

"Saya yakin dengan adanya usaha berterusan daripada pelbagai pihak untuk menyeru kepada kebaikan dan membimbing masyarakat agar menjauhi kemungkaran, kita akan dapat mewujudkan sebuah masyarakat yang harmoni, bermoral dan berakhlak mulia," katanya dalam perutusan sempena Hari Raya Aidiladha yang akan disambut pada Ahad.

Muhyiddin berkata kesepaduan di kalangan umat Islam untuk membimbing sesama umat supaya mentaati perintah Allah dan menjauhi segala laranganNya akan menjadikan orang Islam insan bertaqwa yang sentiasa dipandang mulia.

Sempena Aidiladha, Timbalan Perdana Menteri turut mengingatkan umat Islam untuk memperingati dan menghayati kisah pengorbanan Nabi Ibrahim A.S., Nabi Muhammad S.A.W dan para sahabat serta ulama terkemudian dalam menyebarkan Islam ke seluruh alam.

"Alhamdulillah, dengan pengorbanan yang dilakukan oleh mereka dalam menyebar syi'ar dan da'wah Islam, kita telah menerima sinar hidayah paling bermakna untuk menjadi umat terpilih, umat yang beriman kepada keEsaan Allah S.W.T dan kerasulan Nabi Muhammad S.A.W," katanya.

Sehubungan itu, katanya umat Islam wajar menghargai nikmat keimanan kepada Allah S.W.T, sentiasa berusaha untuk memperkukuh dan meningkatkan keimanan dengan mentaati segala suruhanNya dan menjauhi segala laranganNya.

Muhyiddin dalam perutusannya turut mengucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha kepada umat Islam di Malaysia dan rakyat Malaysia yang meraikannya di seluruh dunia.- BERNAMA

Artikel Lain