suria

Peluang Orang Ramai Saksi Persembahan Orang Kuat TLDM

ALOR SETAR: Bekas 'orang kuat' Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Mohamad Zu Dolah akan membuat kemunculan semula selepas menyepi selama dua tahun sejak bersara dari pasukan itu dua tahun lepas.

Bekas Pegawai Waran II TLDM berumur 44 tahun itu berkata beliau ingin mencuba melakukan sesuatu untuk mencipta nama dalam Malaysia Book of Records kerana hasrat itu belum tercapai.

Katanya peluang menunjukkan 'kehebatan' menarik lori seberat lima tan dan mengopek kelapa dengan gigi pada Karnival Rakyat 2011 sempena perlawanan akhir Liga Bola Sepak Kuala Ketil di padang awam Kuala Ketil 13 November ini akan digunakan sebaik mungkin.

Beliau berkata sejak bersara dari TLDM pada 2009 dan menetap di kampung Bukit Kuning, dekat Kuala Ketil, beliau menjadi tukang gunting rambut di pekan Kuala Ketil.

"Apabila bertemu pengerusi Yayasan Prihatin Kemiskinan dan Pendidikan Kedah (YPKPK) Zuraidi Rahim baru-baru ini, beliau memberi peluang kepada saya membuat persembahan pada karnival itu.

"Kemunculan pertama ini, ibarat pemanas badan kerana banyak persediaan perlu dilakukan sebelum membuat persembahan, kata Mohamad Zu yang mengamalkan yoga," kepada pemberita di sini, Ahad.

Beliau turut menunjukkan kehebatannya kepada media dengan menarik sebuah pacuan empat roda (Toyota Harrier) sejauh hampir 30 meter serta mengopek kelapa muda dengan gigi.

Kehebatan Mohamad Zu mendapat pengiktirafan apabila Laksamana Pertama TLDM Datuk Kamal Darus menganugerahkan beliau gelaran 'Orang Kuat TLDM' bagi tahun 1999 hingga 2000.

Katanya sepanjang berkhidmat dengan TLDM beliau mengadakan pertunjukan 'orang kuat' antaranya menarik jet pejuang F-5E, bermain api, membengkok besi dengan tengkuk dan berbaring atas paku.

Beliau juga berpeluang membuat persembahan semasa berkhidmat dengan pasukan Malbatt Malaysia di luar negara ketika menyertai misi di Bosnia, Lubnan, Indonesia, Somalia dan beberapa negara lain.

Sementara itu, Zuraidi berkata orang ramai berpeluang menunjukkan kehebatan sebagai 'orang kuat' di karnival itu bermula 9 pagi hingga 11 malam dan akan diadili oleh Mohamad Zu.

Beliau berkata YPKPK akan membantu Mohamad Zu untuk memartabatkan bekas pegawai waran itu dalam usaha beliau mencatat nama dalam Malaysia Book of Records.

Karnival itu menyediakan hadiah menarik untuk pertandingan mewarna dan melukis kanak-kanak, sukaneka, cabutan bertuah, gerai jualan manakala pertunjukkan kebudayaan pada sebelah malam, katanya.

Zuraidi bekata kemuncak karnival itu perlawanan akhir bola sepak merebut piala Tun Daim Zainuddin pada sebelah petang.

Bekas Menteri Kewangan itu sendiri akan menyampaikan hadiah kepada pemenang.

Juara liga tersebut yang disertai 32 pasukan akan menerima hadiah RM3,000, RM1,500 (kedua), RM1,000 dan RM500 masing-masing untuk tempat ketiga dan keempat. - BERNAMA

Artikel Lain