suria

Tourism M'sia Sasarkan Jualan Pada Night Travel Fair Di i-City

SHAH ALAM: Tourism Malaysia menyasarkan jualan pakej pelancongan pada pameran "Cuti-Cuti 1Malaysia Night Travel Fair 2011", yang berlangsung pada Jumaat sehingga Ahad, akan mencecah RM500,000.

Agensi penggalakan pelancongan negara itu turut menjangkakan lebih 60,000 orang akan berkunjung ke pameran waktu malam itu di i-City di sini.

Tourism Malaysia dalam satu kenyataan menjelaskan, pameran anjurannya itu melibatkan 66 agensi, termasuk pengusaha produk pelancongan, pengusaha inap desa dan hotel tempatan, yang menawarkan lebih 2,500 pakej domestik.

Selain pameran dan jualan, pelbagai acara menarik dirancang sepanjang program itu seperti kuiz pelancongan, cabutan bertuah dan konsert mini artis termasuk kumpulan Lefthanded, XPDC dan artis di bawah naungan stesen televisyen berbayar ASTRO.

Cuti-Cuti 1Malaysia Night Travel Fair ini turut mengetengahkan program anjuran Kementerian Pelancongan seperti kempen 1Malaysia Bersih & Indah, Festival Pelancongan Seni Kontemporari 1Malaysia dan Fabulous Food 1Malaysia.

Pameran tiga hari yang bermula 5 petang hingga 12 tengah malam itu dirasmikan Timbalan Menteri Pelancongan Datuk Dr James Dawos Mamit, yang mewakili Menteri Pelancongan Datuk Seri Dr Ng Yen Yen, malam ini.

Dalam ucapannya, Dawos meminta pengusaha dan ejen pelancongan memperhebat serta memantapkan lagi usaha memikat pelancong tempatan.

"Saya difahamkan pada tahun lalu, sebanyak 245 organisasi telah menyertai Cuti-Cuti 1Malaysia Travel Fair ini.

"Dari itu, sejumlah 3,493 pakej pelancongan dalam negeri yang bernilai RM984,881 berjaya dijual kepada orang ramai di sepanjang pameran pelancongan itu berlangsung," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Lain