Hormati Keputusan Kerajaan Perkenalkan Dasar MBMMBI - Semasa | mStar

Hormati Keputusan Kerajaan Perkenalkan Dasar MBMMBI

KUALA LUMPUR: Keputusan kerajaan untuk memperkenalkan dasar Memartabat Bahasa Melayu dan Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) dan memansuhkan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) harus dihormati dan diterima baik semua pihak, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata ini kerana sistem pendidikan negara akan menjadi kucar-kacir sekiranya kerajaan memberi kebebasan kepada ibu bapa memilih bahasa pengantar untuk anak-anak mereka mempelajari sains dan matematik di sekolah.

"Sukar bagi Kementerian Pelajaran untuk merancang cara bagaimana sebuah sekolah mahukan bahasa Inggeris, manakala yang sebuah lagi mahukan bahasa Melayu dan bagaimana pula untuk menyediakan guru-gurunya.

"Pada hari ini kita tahu sesetengah guru bahasa Inggeris kita pun tidak berapa cekap...jadi kalau sesetengah sekolah nak bahasa Inggeris (tetapi) sekolah itu tidak mempunyai guru Bahasa Inggeris yang baik (maka) ia tidak akan tercapai," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu VIII di sini, Sabtu.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran memberi jaminan bahawa kepentingan penguasaan bahasa Inggeris tidak akan diketepikan setelah PPSMI dimansuhkan.

"Kita sedar mungkin sebahagian daripada mereka itu menghendaki supaya kita tidak mengetepikan bahasa Inggeris...mereka punya kebimbangan kalau perubahan dasar ini bermakna bahasa Inggeris itu tidak diberikan perhatian.

"Sebab itu kita ubah dari PPSMI kepada MBMMBI kerana kedua-duanya ada... bahasa Melayu untuk kita martabatkan dan bahasa Inggeris untuk kita perkukuhkan," katanya.

Persatuan Ibu Bapa Untuk Pendidikan Malaysia (PAGE) sebelum ini mendesak kerajaan agar mengekalkan PPSMI dengan mendakwa bahawa ramai kalangan ibu bapa mahu supaya PPSMI terus dikekalkan atau memberi pilihan kepada ibu bapa yang masih mahu mengekalkan pembelajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris bagi anak-anak mereka.

Muhyiddin juga percaya dasar MBMMBI yang dilaksanakan mulai tahun ini bagi murid Tahun 1 melalui pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Melayu itu akan membuahkan hasil dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

"Saya telah perkenalkan beberapa inisiatif, contohnya kita sudah ubah kurikulum pembelajaran bahasa Inggeris di sekolah-sekolah secara yang lebih menarik, lebih berkesan dan kita sudah tambah waktu pembelajarannya daripada 240 minit kepada 300 minit seminggu.

"Kemudian kita bawa masuk guru-guru penutur jati yang sudahpun ditempatkan di seluruh negara sebagai 'Master Teacher'.

"Pendekatan ini dilihat amat berkesan kerana mereka memantau guru-guru yang mengajar bahasa Inggeris di sekolah-sekolah di seluruh negara.

"Kita juga melatih lebih ramai guru di Institut Perguruan Malaysia iaitu jumlahnya 10,000 guru yang nanti akan membimbing pembelajaran dalam bahasa Inggeris," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Gempa Sederhana Di Ceram, Indonesia Pagi Ini

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Klik

default image

Carum Perkeso untuk dilindungi walau bekerja sendiri kerana malang tidak berbau!

MATLAMAT utama mengumpul duit dan trip perjalanan, tapi adakah pemandu pengangkutan awam menyedari ‘malang tidak berbau’ ketika bekerja?

default image

Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 sasar rapatkan jurang pendapatan rakyat... ini fakta penting yang anda perlu tahu

EKONOMI negara akan distruktur semula menerusi Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030).

default image

Perahu naga bakal 'membelah' Tasik Putrajaya, 90 pasukan korporat berentap rebut gelaran juara!

SEMUA peserta nampaknya tidak sabar untuk menyahut cabaran bagi merebut gelaran juara perlumbaan perahu naga di Tasik Putrajaya.

default image

Jurang ekonomi penduduk bandar dan desa cabaran utama WKB 2030

JURANG ekonomi yang besar di antara kumpulan pendapatan, etnik serta kawasan luar bandar dan bandar antara cabaran besar yang dihadapi negara.

default image

Percutian travel tren janjikan servis 'awesome' dan 1,001 pengalaman menakjubkan!

TRAVEL serata dunia lebih pantas dengan menggunakan kapal terbang tetapi amat menyeronokan jika tren menjadi pilihan.

Artikel Lain