suria

Mydin Buka Pasar Raya Besar Keenam Di Seremban

SEREMBAN: Mydin Mohamed Holdings Bhd pada Jumaat melebarkan sayap perniagaannya dengan membuka pasar raya besar keenam, dan pertama di Negeri Sembilan, di Terminal 2 Era Square di sini.

Pengarah Urusannya Datuk Ameer Ali Mydin berkata premis itu dipilih berdasarkan lokasinya yang strategik di bandar Seremban, yang juga mempunyai pelbagai kemudahan pengangkutan awam untuk memudahkan kunjungan orang ramai.

"Menerusi pembukaan pasar raya besar ini, Mydin menawarkan peluang pekerjaan kepada lebih 350 pekerja, katanya pada perasmian pasar raya besar itu hari ini.

Beliau berkata Mydin yang menyewa bangunan dua tingkat di kompleks itu, menjual barangan basah dan keperluan harian di tingkat bawah manakala tingkat atas menjual pakaian, barangan elektrik, alat tulis, aksesori dan kraftangan.

Katanya pembukaan cawangan baharu ini diharapkan dapat memberi tarikan kepada seluruh penduduk Seremban untuk datang berbelanja, menikmati harga rendah sepanjang masa dan mendapat hak kepuasan memilih menerusi kepelbagaian produk yang ditawarkan.

"Mydin sentiasa dikenali sebagai lokasi tepat membeli-belah," katanya.

Katanya rangkaian perniagaan Mydin kini berjumlah 96 cawangan yang membabitkan cawangan pasar raya besar, pasar raya, pasar mini dan bazaar di seluruh negara, yang berkonsepkan barangan halal.

Ameer berkata perniagaan Mydin sehingga Mac lepas mencecah RM1.6 bilion.

"Berdasarkan perancangan, Mydin akan membuka 13 pasar raya besar baharu di seluruh negara dalam tempoh tiga tahun," katanya.

Sementara itu, katanya Mydin akan membuka 20 Kedai Rakyat 1Malaysia di seluruh negara tahun ini.

Katanya setakat ini, Mydin membuka lima Kedai Rakyat 1Malaysia di Lembah Klang.

"Kedai Rakyat 1Malaysia yang pertama yang akan dibuka di luar Lembah Klang ialah di Tengkera, Melaka, hujung bulan ini.

"Produk Kedai Rakyat 1Malaysia menjual pelbagai barangan keperluan asas tanpa jenama, dan dijual pada harga berpatutan berbanding jenama popular yang telah lama berada dalam pasaran.

"Bagi pengusaha kedai runcit yang berminat menjual barangan 1Malaysia di premis sendiri, mereka boleh mendapatkan bekalan barangan di Kedai Rakyat," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain