suria

Bajet Alternatif Pembangkang Janji Potong Perbelanjaan PM

KUALA LUMPUR: Pembangkang berjanji akan memperuntukan sebanyak RM220 bilion menerusi bajet alternatif Pakatan Rakyat 2012 bagi mengekang defisit pada kadar 4.4 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, jumlah berkenaan melibatkan penjimatan perbelanjaan sebanyak RM14 bilion daripada kadar yang dibelanjakan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) yang diyakini dapat memberi 20 peratus nilai tambah kepada rakyat.

"Keseluruhan RM220 bilion ini akan digunakan sebaiknya untuk mengimbangi keperluan membaiki kerangka ekonomi negara," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Bajet Alternatif Pakatan Rakyat 2012 di bangunan Parlimen di sini, Selasa.

Perbentangan tersebut dibuat tiga hari sebelum Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak membentangkan Bajet 2012 pada Jumaat ini.

Selain itu menerusi bajet berkenaan, pembangkang turut berjanji akan memotong belanjawan Perdana Menteri sebanyak RM10 bilion dengan mengembalikan peruntukan itu kepada kementerian berkaitan.

Menurut Anwar lagi, Pakatan Rakyat juga akan melaksanakan bayaran bonus warga emas sebanyak RM1,000 setahun kepada yang layak berdasarkan pendapatan kurang daripada RM18,000 setahun.

"Pakatan Rakyat turut akan melaksanakan bayaran suri rumah sebanyak RM1,000 dalam tahun 2012 kepada mereka yang layak bagi mengurangkan bebanan keluarga dan menggalakkan suri rumah menabung melalui Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

"Kita juga akan memberi bayaran tambahan kepada isi rumah dalam kategori miskin tegar untuk memastikan pendapatan bulanan mencecah sekurang-kurangnya RM550," katanya.

Dalam pada itu Anwar turut mengumumkan bahawa Pakatan Rakyat akan melaksanakan skim gaji minimum sebanyak RM1,100 yang akan memberi manfaat kepada 300,000 kakitangan awam.

Artikel Lain