suria

Lawatan Rasmi: Najib Tiba Di Perak

IPOH: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor tiba di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) di sini pada pukul 9 pagi Sabtu untuk lawatan kerja sehari di Perak.

Ketibaan mereka berdua disambut Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, anggota Exco Kerajaan Negeri serta para pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) negeri.

Perdana Menteri yang mempunyai jadual padat memulakan lawatan dengan mengadakan kunjungan mesra bertemu rakyat khususnya peniaga dan penduduk di taman perumahan Soon Choo di Gopeng serta menghadiri Majlis Jamuan Hari Raya Aidilfitri bersama masyarakat tempatan.

Acara lain Perdana Menteri ialah program ramah mesra dengan penduduk kampung di Mambang Di Awan, Kampar sebelum mengadakan tinjauan mesra di pekan Tanjung Tualang pada tengah hari serta merasmikan Karnival 1Malaysia.

Perdana Menteri dan isteri juga akan menghadiri majlis perkahwinan Anggota Dewan Undangan Tualang Sekah Nolee Asyikin Mohd Radzi di SK Changkat Tin sebelum ke Sungai Siput pada sebelah petang.

Di Sungai Siput, Perdana Menteri akan melancarkan Program Jalinan Murni Masyarakat Orang Asli anjuran 1Malaysia Development Berhad di Kampung Orang Asli Bawong, Sungai Siput kira-kira 50 kilometer dari sini sebelum melawat pameran Klinik Bergerak 1Malaysia, Pameran Khidmat Masyarakat Yayasan Felda.

Perdana Menteri akan bersama-sama kira-kira 5,000 tetamu pada Jamuan Hari Raya bersama masyarakat Orang Asli di Lasah sebelum pulang ke ibu negara. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain