suria

Felda Tewas Kes Saman Fitnah RM200 Juta

KUALA LUMPUR: Felda dan syarikat pelaburannya Felda Global Ventures Holdings Sdn Bhd kalah dalam kes fitnah mereka ke atas bekas Timbalan Menteri Tanah dan Pembangunan Koperasi Datuk Dr Tan Kee Kwong.

Dr Tan berhadapan dengan kes saman fitnah RM200 juta.

Hakim Datin Zabariah Mohd Yusuf pada Isnin berkata kedua-dua plaintif telah gagal untuk membuktikan Dr Tan menggunakan perkataan-perkataan bersifat fitnah dalam satu penerbitan di Suara Keadilan.

Mahkamah juga mengarahkan Felda membayar kos RM100,000 kepada Dr Tan.

Bagaimanapun Felda hanya perlu membayar RM70,000 kepada defendan kerana Dr Tan juga perlu menjelaskan RM30,000 dalam bentuk kos kepada plaintif berhubung poin-poin awalan yang dibangkitkan sebelum ini.

Pada 12 Julai lalu, Peguam Dr Tan, Ranjit Singh memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa bekas timbalan menteri itu tidak akan memberi keterangan dalam saman yang difailkan oleh Felda.

Ranjit memberitahu defendan tidak mempunyai kes untuk menjawab berhubung saman Felda dan syarikat pelaburannya Felda Global Ventures Holdings.

Ranjit memberitahu mahkamah demikian selepas peguam utama Datuk Mahinder Singh Dulku yang bertindak bagi plaintifnya memaklumkan bahawa plaintif telah menutup kes itu selepas memanggil empat saksi.

Pada 25 Januari lepas, Felda dan anak syarikatnya menyaman Dr Tan berhubung satu artikel muka depan akhbar Suara Keadilan bertajuk ‘Kontroversi’ yang didakwa memfitnah mereka.

Artikel itu bersambung pada muka tiga dengan tajuk “Bina bangunan RM662 juta hanya libatkan tiga individu.”

Plaintif mendakwa artikel itu memfinah mereka kerana perkataan-perkataan itu menunjukkan bahawa pengambilan balik dan pembinaan Menara Felda di kawasan segi tiga emas Kuala Lumpur akan memberi manfaat kepada kroni.

Dalam kenyataan pembelaannya, Dr Tan berkata perkataan yang dibuat atau mengandungi ulasan dan menzahirkan pendapat itu merupakan ulasan adil berhubung kepentingan awam seperti kedudukan kewangan, perbelanjaan, pengurusan dan kegiatan plaintif.

Dr Tan menafikan bahawa perkataan itu dengan cara apa pun memfitnah plaintif dan dalam konteks artikel itu, jika diambil secara menyeluruh, perkataan itu tidak bermakna atau boleh membawa makna seperti yang didakwa oleh pliantif.

Artikel Lain