suria

Haram Judi: Kerajaan Negeri Kelantan, MPKB Disaman

KUALA LUMPUR: Kerajaan Negeri Kelantan dan Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) disaman oleh tiga penduduk negeri itu berhubung isu pengharaman aktiviti perjudian di negeri berkenaan yang dikuatkuasakan pada Februari lalu.

Saman pemula itu difailkan oleh Wong Meng Yit, 47; Lee Khim Haw @ Lee Khim Hwa, 58, dan Gan Han Chuan, 44, pada 6 Jun lalu dan pihak media dimaklumkan mengenai perkara itu pada Rabu yang ditetapkan sebagai pengurusan kes.

Wong dan Lee difahamkan adalah dua peniaga yang telah disaman oleh pihak berkuasa Kelantan berhubung isu judi.

Ketiga-tiga plaintif diwakili oleh peguam-peguam Lee Kien Han dan Rueben Mathiavaranam manakala Kerajaan Negeri Kelantan diwakili oleh Penasihat Undang-Undang Negeri.

MPKB diwakili oleh sebuah firma guaman.

Berdasakan writ saman, semua plaintif memohon agar mahkamah mengeluarkan deklarasi bahawa Kerajaan Negeri Kelantan tidak mempunyai kuasa untuk menggubal, meluluskan undang-undang atau enakmen yang mengharamkan atau melarang aktiviti-aktiviti perjudian dan loteri.

Mereka juga memohon deklarasi bahawa kedua-dua defendan tidak mempunyai kuasa untuk menggubal atau meluluskan arahan atau polisi yang mengharamkan aktiviti tersebut.

Selain itu, plaintif juga menuntut deklarasi bahawa perkara-perkara mengenai perjudian atau loteri adalah bidang kuasa eksklusif Parlimen dan defendan tidak mempunyai kuasa di bawah Perlembagaan Persekutuan untuk menggubal apa-apa undang-undang berkaitan perkara itu.

Plaintif juga menuntut ganti rugi am yang tidak dinyatakan jumlahnya, kos dan lain-lain perintah yang difikirkan adil dan sesuai oleh mahkamah.

Sementara itu, Lee dalam satu sidang akhbar ringkas di sini, memberitahu bahawa pengurusan kes telah ditetapkan di Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas -RKKK) pada 17 Ogos ini.

Kes tersebut akan didengar di hadapan Hakim Abang Iskandar Abang Hashim.

Ahli Jawatankuasa Pusat MCA, Datuk Ti Lian Ker pula memberitahu bahawa saman tersebut pada asalnya difailkan di Mahkamah Tinggi sebelum dipindahkan ke RKKK kerana melibatkan isu perlembagaan.

"Kami mengambil tindakan undang-undang dan membawa ke mahkamah kerana tiada penyelesaian dapat dicapai," katanya yang menyifatkan pengharaman itu bersifat politik.

Artikel Lain