suria

Syarikat Milik Orang Islam Harus Laksanakan Tanggungjawab Bayar Zakat

MELAKA: Syarikat-syarikat milik penganut beragama Islam yang beroperasi di negara ini diminta melaksanakan tanggung jawab mereka dalam menunaikan zakat walau pun masih belum wujud undang-undang yang mengenakan hukuman terhadap syarikat sedmikian yang enggan membayar zakat.

Ketua Pengarah Jabatan Waqaf Zakat dan Haji di Jabatan Perdana Menteri Datuk Anan C Mohd berkata syarikat-syarikat itu haruslah menjalankan tanggung jawab syariah mereka.

Katanya pungutan zakat harta dan fitrah di seluruh negara tahun lalu mencatatkan pungutan RM1.363 bilion.

"Syarikat mahu pun individu tiada alasan untuk tidak mengetahui jumlah pembayaran yang sepatutnya dilakukan kerana cawangan pusat zakat beroperasi di seluruh negara," katanya kepada pemberita selepas perasmian Persidangan Zakat dan Cukai Kebangsaan ke-51 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, di sini Khamis.

Persidangan dua hari itu dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Negeri Bagi Hal Ehwal Agama Islam Datuk Yaakub Md Amin, yang mewakili Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam.

Beliau berkata, kesedaran dan tanggung jawab adalah amat penting kerana institusi zakat bertujuan menyusun masyarakat berteraskan ajaran Islam.

Anan berkata terdapat perkembangan positif kini di mana para penjawat awam membayar zakat melalui potongan gaji dalam melunaskan tanggung jawab masing-masing.- BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain