suria

Akta Perundingan Gaji Dapat Tarik Rakyat Tempatan Ke Sektor Perladangan:Bernard Dompok

KUCHING: Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Tan Sri Bernard Dompok yakin pelaksanaan Akta Perundingan Gaji Kebangsaan dapat menarik rakyat tempatan menyertai sektor perladangan.

Beliau berkata ini kerana menerusi undang-undang itu, kedudukan gaji dalam sektor tersebut dapat dilihat semula.

Antara punca utama warga tempatan tidak berminat bekerja dalam sektor perladangan adalah kerana gaji yang rendah dan pelaksanaan undang-undang ini dilihat dapat menangani perkara itu, katanya kepada pemberita, di sini Jumaat.

Beliau yang ditemui selepas perhimpunan bulanan kementeriannya juga yakin pelaksanaan undang-undang baru tersebut dapat mengikis tanggapan masyarakat bahawa bekerja di sektor perladangan tidak dapat meningkatkan taraf hidup.

Sementara itu dalam ucapannya pada majlis tersebut, Dompok berkata nilai eksport komoditi dan produk berasaskan komoditi mencatatkan peningkatan 20 peratus bagi tempoh empat bulan pertama tahun ini.

Bagi tempoh itu nilai eksport komoditi dan produk berasaskan komoditi meningkat kepada RM44.3 bilion berbanding RM36.8 bilion bagi tempoh yang sama tahun lepas, katanya.

Selain itu katanya, kementerian tersebut juga akan menganjurkan Persidangan dan Pameran Komoditi Antarabangsa Malaysia (MICCOS) bermula 28 hingga 30 Oktober ini di Serdang, Selangor.

"Saya berharap warga kementerian akan berusaha menjayakan program ini sebagai mempromosikan sektor perladangan dan komoditi kepada masyarakat secara lebih meluas," katanya.- BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain