suria

PDNKK Sarawak Pantau Taktik Baru Skim Cepat Kaya Di Kalangan Pelajar

KUCHING: Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PDNKK) Sarawak akan menggiatkan usaha memantau taktik baru jualan langsung yang menyasarkan pelajar institusi pengajian tinggi dalam skim cepat kaya, kata pengarahnya Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman.

Beliau berkata kegiatan tersebut melibatkan penyalahgunaan Akta Jualan Langsung, di mana pihak terbabit akan menunjukkan lesen jualan langsung yang telah diluluskan oleh PDNKK kepada pelajar berkenaan untuk tujuan menipu.

"Pengguna yang telah terkena diminta jangan ragu-ragu, tetapi datang ke PDNKK untuk membuat laporan memandangkan ramai yang malu membuat demikian akibat ditipu," katanya kepada pemberita selepas memberi taklimat sempena perhimpunan bulanan agensi persekutuan di Sarawak di sini, Khamis.

Turut hadir ialah Setiausaha Persekutuan Sarawak Datuk Md Yahaya Basimin.

Wan Ahmad Uzir berkata setakat ini, sebanyak 68 pelbagai kes dan aduan kepenggunaan telah diterima, termasuk 31 kes yang masih dalam siasatan manakala Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia menerima 145 kes.

Pada tahun lepas, 516 aduan diterima berbanding 11,641 bagi seluruh negara.- BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain