suria

Pegawai Kerajaan Diberi Amaran Jangan Pandang Ringan Sepina

SHAH ALAM: Seorang Hakim Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa, memberi amaran kepada kakitangan kerajaan agar tidak memandang ringan sepina yang mengarahkan mereka hadir ke mahkamah.

Hakim Noor Azian Shaari berkata demikian semasa menegur seorang ahli kimia, Suhana Ismail, 43, yang dibawa ke mahkamah oleh anggota polis dari Besut, Terengganu, ekoran dikenakan waran tangkap.

Waran tangkap terhadap pegawai gred C48 di Jabatan Kimia Malaysia, Petaling Jaya, dekat sini dikeluarkan selepas Suhana gagal untuk hadir ke mahkamah pada Isnin, walaupun sepina telah dikeluarkan.

Ketidakhadiran Suhana menyebabkan mahkamah terpaksa menangguhkan perbicaraan kes dadah terhadap seorang warga Iran, Ali Asghar Pourian Arbastani ekoran barang kes tidak boleh dibuka.

Ali Asghar, 24, seorang penganggur dibicarakan atas pertuduhan mengedar 965 gram syabu, pada pukul 3.30 petang, 3 Februari lalu di hadapan pintu nombor 8, Balai Ketibaan, Aras 3, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, dekat sini.

Pada prosiding itu, Suhana yang mula menjawat jawatan itu pada 1 September 1994 memberitahu, dia bercuti pada Isnin dan permohonan cuti telah dibuat sejak awal.

"Semasa sepina diserahkan saya tidak berada di pejabat kerana sedang memberi keterangan di Mahkamah Jalan Duta, Kuala Lumpur. Tetapi saya ada melihat sepina tersebut di atas meja saya," tambahnya.

Setelah mendengar penjelasan Suhana, Noor Azian berkata mereka yang menerima sepina tidak boleh tidak perlu hadir ke mahkamah, melainkan jika ada kematian sanak saudara yang terdekat.

Beliau juga menambah, kegagalan hadir ke mahkamah selepas sepina dikeluarkan adalah terjumlah kepada penghinaan mahkamah dan boleh dikenakan waran tangkap.

"Bila kamu sudah lama bekerja, kamu patut lebih bertanggungjawab dengan kerja. Kes dadah seperti ini 90 peratus melibatkan saksi kakitangan kerajaan seperti polis dan ahli kimia.

"Kalau semua bersikap seperti kamu yang terima sepina tapi tidak mahu hadir, kes tidak berjalan lancar dan tergendala. Tapi orang tak tahu, ingat mahkamah yang lambat," katanya.

Beliau juga menambah, sebahagian tugas sebagai seorang kakitangan adalah untuk memberi keterangan di mahkamah.

"Jika kamu tidak mahu datang ke mahkamah atau tidak suka dengan tugas kamu, boleh bersara jika telah cukup umur atau berhenti. Kerajaan tidak memerlukan kakitangan seperti ini," katanya.

Dengan merujuk kepada dua anggota polis yang turut dikenakan waran tangkap atas alasan yang sama, Noor Azian meluahkan rasa kesal terhadap sikap kakitangan kerajaan yang disifatkan 'semakin teruk' pada masa sekarang.

"Kalau semua kakitangan kerajaan bersikap seperti ini, kes tidak boleh dijalankan. Kita perlukan orang yang berdedikasi dalam kerajaan," katanya.

Artikel Lain