Penulis lirik Ad SamadSAYA membaca kenyataan penulis lirik Ad Samad yang mengatakan penulis lirik kita kebanyakannya tidak kreatif. Maka akhirnya terhasillah lirik-lirik yang pelik serta tidak membangunkan minda.Ad Samad turut memberi contoh macam mana lirik lagu nyanyian P.Ramlee iaitu Dalam Air Ku Terbayang Wajah yang turut memuatkan petikan “handsome macam gajah.” Ia adalah antara contoh lirik yang tidak bermutu kerana tidak pernah orang kata gajah itu handsome. Saya setuju dengan pendapat Ad Samad. Lirik-lirik kita sejak zaman dulu sampailah sekarang kebanyakannya dipengaruhi dengan metafora cinta yang keterlaluan.Putus cinta, bahagia kerana cinta serta cinta yang tak mendapat restu adalah tema yang selalu diangkat. Gamaknya orang kita ni memang suka bercinta 24 jam macam kedai 7E?Malah ada juga lagu yang sedap iramanya tetapi musnah apabila digabungkan dengan lirik yang entah apa-apa.Lirik memainkan peranan yang amat penting dalam membentuk kekuatan sesebuah lagu. Malah lirik juga boleh mempengaruhi jiwa manusia untuk membuatkan seseorang itu menangis atau ketawa.Kemampuan menghasilkan lirik yang baik adalah satu kurniaan yang tidak ternilai. Untuk mendapatkan lirik yang baik bukannya mudah. Penulis lirik sama juga macam pensyarah di universiti yang perlu membaca, mengetahui perkembangan dunia dan segala-galanya untuk mendapatkan ilham lirik yang luar biasa.Penulis lirik bukan hanya duduk atas kerusi malas sambil berangan-angan macam Mat Jenin dan selepas itu mula menulis lirik. Mereka perlu banyak membaca untuk mendapatkan prosa yang indah-indah.Allahyarham Loloq atau Rosli Khamis adalah antara contoh penulis lirik yang hebat. Karyanya begitu agung. Sebab itulah selepas Loloq meninggal dunia kira-kira tiga tahun lalu, tidak ada karya yang mampu menandingi hasil tangannya.Tidak hairanlah lirik ciptaan Loloq iaitu Cahaya Gelita pernah memenangi Hadiah Galakan Penulis Lirik Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) tidak lama dulu.Kata Loloq, penulis lirik perlulah berilmu supaya mereka dapat menyampaikan ilmu itu dalam corak hiburan dengan baik atau hiburan berakal.Selepas ketiadaan Loloq, macam mana hala tuju lirik-lirik kita hari ini? Adakah kita masih mendambakan lirik-lirik “tangkap leleh” atau tibalah masanya untuk berubah?Cukup-cukuplah kita dihidangkan dengan lirik yang lapuk. Kalau tidak, kita terus tertinggal yang akhirnya akan menyebabkan pasaran muzik tanah air dikuasai oleh orang lain.Apa yang penting penulis lirik itu sendiri perlu berubah dengan menjadi orang yang berilmu sekiranya mereka mahu menghasilkan lirik yang bermutu.NIEZAM: Tersungkur bersama lirik Ina Naim.“Jangka hayat” HaizaPada hari Sabtu minggu lalu (22 Mei 2011), saya berpeluang menyaksikan majlis makan malam sempena 16 tahun penyanyi Haiza terlibat dalam industri hiburan. Ia diadakan oleh Haiza bersama peminatnya di Hotel UiTM, Shah Alam, Selangor.Walaupun majlis itu bukan sebuah majlis gilang-gemilang tetapi ia cukup bermakna kerana Haiza berjaya menawan dewan itu dengan mutu suara selain kemampuannya menyanyikan pelbagai jenis lagu.Tak semua orang boleh menyanyikan pelbagai genre muzik tetapi Haiza membuktikannya.Kata Haiza, selama 16 tahun dia terlibat dalam dunia seni, tiada satu pun anugerah pernah dipegangnya. Walaupun begitu, dia mampu bertahan sehingga hayat itu.Haiza tak pernah buat kerja lain. Hidup dan matinya sehingga hari ini adalah dalam bidang muzik dengan menjual suara dan bakatnya.Sebenarnya anugerah atau pun pengiktirafan yang diterima bukanlah ukuran terhadap kejayaan seseorang. Ada artis yang bersusun anugerah dalam almari tetapi usia kerjaya mereka tak lama.Tak payah pandang jauh, tengok saja macam mana Mawi yang sebelum ini dapat macam-macam anugerah dan pengiktirafan. Tapi hari ini apa sudah jadi dengan Mawi? Dia semakin dilupakan. Malah kelibatnya pada acara-acara hiburan besar sudah tidak kelihatan.Sebab itu saya kata, kejayaan seseorang itu bergantung bagaimana dia berjaya memasarkan dirinya walaupun tidak memenangi sebarang anugerah.Haiza membuktikan jangka hayat menjadi artis itu lebih penting daripada berguni-guni trofi yang perlu dibawa balik ke rumah.Percaya atau tidak, Haiza mempunyai senarai undangan pertunjukan pentas yang banyak setiap minggu walaupun lagu-lagunya susah nak dengar di radio.Dia membuat persembahan di banyak tempat termasuklah undangan sektor korporat, majlis makan malam, persembahan di istana serta di Brunei.Haiza tidak perlu malu walaupun tidak mendapat apa-apa anugerah kerana dia masih boleh mencari wang untuk menyara hidupnya tanpa perlu mengendong anugerah untuk ditunjukkan kepada orang lain.Dia juga tidak perlu malu kerana tidak mempunyai album macam artis-artis lain kerana orang masih percaya dengan kemampuannya berbanding artis yang menghasilkan album tiap-tiap tahun.Tak semua artis ada keistimewaan itu. Selain Haiza, Nassier Wahab juga antara artis yang tidak menang tangan dengan undangan pertunjukan pentas.Kehebatan mereka itu kerana disiplin yang tinggi serta boleh bertolak ansur untuk memberi hiburan kepada orang ramai.Saya percaya, kalau ada pertunjukan fun fair sekali pun yang ingin mengundang mereka, artis macam Haiza atau Nassier Wahab tidak akan menolaknya. Mereka percaya keikhlasan untuk memberi hiburan kepada orang ramai bukan diukur kepada lokasi persembahan itu dibuat tetapi sejauh manakah orang ramai memanfaatkannya.Tapi adakah artis baru hari ini boleh bertahan macam Haiza selama 16 tahun terlibat sebagai seorang penyanyi?NIEZAM: Mampu bertahan sebagai orang bujang.