suria

15 Kelasi Terkandas Dihantar Pulang Dalam Tempoh Seminggu

PELABUHAN KLANG: Seramai 15 kelasi yang terkandas dalam sebuah kapal kontena di Pelabuhan Utara, di sini dan hidup dalam keadaan daif sejak lebih setahun lalu akan dihantar pulang ke negara masing-masing dalam tempoh seminggu.

Pengarah Jabatan Laut Wilayah Tengah, Kapten Jailani Jalal berkata, keputusan itu dicapai dalam mesyuarat pada Jumaat melibatkan wakil syarikat insurans, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM), Northport (M) Bhd dan syarikat perkapalan HRC Shipping Ltd yang berpangkalan di Dhaka, Bangladesh.

Katanya, semua pihak prihatin akan kebajikan anak-anak kapal itu.

"Oleh kerana mereka terkandas terlalu lama di kapal itu, semua pihak bersetuju untuk menghantar mereka pulang dalam tempoh seminggu," katanya kepada mStar Online di sini.

Kapal MV Banga Biraj ditahan di perairan negara selepas Northport memperoleh arahan Mahkamah Tinggi untuk menahan kapal tersebut pada 4 Mei tahun lalu.

Northport menuntut kos gantian daripada pemilik kapal itu, HRC Shipping Ltd kerana Banga Biraj belayar selepas melanggar dan merosakkan kelengkapan di salah satu limbungan pada 22 Oktober 2008.

Sekumpulan kelasi terdiri daripada 13 warga Bangladesh dan dua warga Indonesia yang mengemudi kapal itu kembali ke Pelabuhan Klang akhirnya ditahan.

Mereka ditahan pada kapal tersebut tanpa mendapat gaji serta hanya memakan nasi, sayuran dan kacang dal dalam tempoh lebih setahun tersebut.

The Star mendedahkan pengalaman perit getir anak-anak kapal berkenaan dalam laporan muka depannya pada Selasa lalu.

Menurut Jailani, isu berkenaan gaji tertunggak kelasi akan ditentukan oleh mahkamah kemudian.

Katanya, lebih-lebih lagi, mereka menyuarakan hasrat untuk pulang ke negara asal masing-masing secepat mungkin.

Sementara itu, Kapten kapal tersebut, Kapten A.K.M. Alamgir memberitahu, dia dan anak-anak kapal lebih rela dihantar pulang secepat mungkin dan berharap gaji tertunggak mereka dibayar.

Dalam pada itu, wakil Kesatuan Kelasi Malaysia, Rafiq Ramul berharap, insiden kelasi yang dihantar pulang ke negara asal mereka tanpa menerima gaji tidak akan berulang lagi.

Artikel Sebelum

Artikel Lain