suria

336 Perokok Remaja Dikenakan Kompaun Di Seluruh Negara

KUALA LUMPUR: Seramai 336 perokok di bawah umur 18 tahun dikompaun RM50 setiap seorang dalam operasi di seluruh negara kerana merokok atau memiliki hasil tembakau.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Hassan Abdul Rahman berkata surat amaran juga akan dihantar kepada ibu bapa atau penjaga bagi tujuan memaklumkan kesalahan tingkah laku anak mereka.

Katanya seorang pekedai runcit juga telah dikompaun di bawah peraturan 8(1) akta larangan penjualan hasil tembakau kepada Orang Belum Dewasa (OBD) yang menyebabkan dia dikenakan kompaun bernilai RM500.

Di bawah Peraturan 14(1) Gagal Mempamerkan Tanda Larangan Jualan Hasil Tembakau kepada Orang di Bawah Umur 18 tahun, 24 orang pekedai lagi dikenakan kompaun, kata Dr Hassan dalam satu kenyataan di sini, Isnin.

Menurut beliau, sejumlah 2,101 tempat telah diperiksa di bawah 'Ops OBD' di mana 1,600 tempat yang diperiksa merupakan tempat penjualan hasil tembakau seperti gerai runcit, kedai runcit, pasaraya, kedai makan dan sebagainya.

"Manakala 501 lagi merupakan tempat-tempat dimana OBD didapati merokok seperti di kawasan sekolah, hentian bas, pasaraya, kedai makan kedai minyak dan sebagainya," katanya.

Keseluruhannya, 361 kompuan telah dikeluarkan dalam operasi itu yang menyaksikan RM29,300 kompaun dikenakan atas pelbagai kesalahan dalam operasi penguatkuasaan Peraturan-peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004 peringkat kebangsaan kali keempat tahun ini yang berakhir pada 26 April yang lepas.

Beliau berkata, mereka yang gagal menjelaskan kompaun dalam masa yang ditetapkan boleh didakwa di mahkamah dan sekiranya didapati bersalah boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun.

"Kementerian akan meneruskan operasi penguatkuasaan bagi melindungi orang ramai daripada bahaya rokok dan meningkatkan kesedaran orang ramai tentang peruntukan undang-undang di bawah PPKHT 2004," katanya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai yang ingin berhenti merokok untuk mendapatkan perkhidmatan di klinik-klinik kesihatan atau hospital kerajaan yang berdekatan atau menghubungi infoline di 03-8883 4400.- BERNAMA

Artikel Lain