suria

10 Pensyarah Universiti Al-Azhar Akan Berkhidmat Di Malaysia

PUTRAJAYA: Seramai 10 tenaga pengajar dari Universiti Al-Azhar akan ditempatkan di beberapa institusi agama di negara ini dalam usaha meningkatkan lagi tahap kecemerlangan penuntut agama jurusan tahfiz di Malaysia.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata enam pensyarah berkenaan akan ditempatkan di Darul Quran di Kuala Kubu Baharu, dua tenaga pengajar di sekolah agama kelolaan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan dan masing-masing seorang di Majlis Agama Islam Pahang dan Pusat Latihan Jakim di Sarawak.

Beliau berkata gaji dan elaun pensyarah berkenaan, yang akan berkhidmat di negara ini selama dua tahun, akan dibayar oleh Universiti Al-Azhar.

"Semasa lawatan saya ke Mesir tahun lepas, pihak Universiti Al-Azhar bersetuju membantu dengan menghantar tenaga pengajar ke institusi agama di Malaysia.

"Ini satu penghormatan dari kerajaan Mesir dan saya berterima kasih kepada Sheikul Azhar Prof Dr Sheikh Ahmed Tayyeib yang sudi membantu kita," katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan hormat 10 pensyarah Universiti Al-Azhar itu, di pejabatnya di sini Isnin.

Jamil Khir berkata tawaran daripada universiti tersohor di dunia itu menunjukkan hubungan dan kerjasama yang baik antara Malaysia dan Mesir.

Beliau berharap dengan bantuan daripada tenaga pengajar yang cukup berpengalaman itu, akan memberikan impak yang besar dalam penguasaan bahasa Arab di kalangan pelajar agama di negara ini.- BERNAMA

Artikel Lain