suria

Tuntutan RM1.38 Juta Sosilawati Terhadap Nash Dihentikan

SHAH ALAM: Permohonan tuntutan RM1.38 juta yang difailkan oleh Datuk Sosilawati Lawiya terhadap bekas suaminya penyanyi, Nash terhenti ekoran kematian jutawan kosmetik itu yang didakwa telah dibunuh.

Hakim Mahkamah Tinggi Syariah di sini, Muhammad Adib Husain memutuskan agar kes itu dihentikan pada Selasa, selepas status kematian Sosilawati dimaklumkan oleh peguam syarie yang mewakilinya, Datuk Mohd Zaidi Mohd Zin.

Mohd Zaidi bagaimanapun mengakui, pihaknya tidak menerima sebarang bukti rasmi yang dapat mengesahkan kematian tersebut, ekoran timbul masalah dalam pengecaman asid deoksiribonukleik (DNA).

"Tetapi berdasarkan bukti ikut keadaan, terdapat pendakwaan yang dijalankan terhadap individu-individu yang dikatakan telah membunuh Sosilawati selain warisnya juga yakin beliau telah meninggal dunia," tambahnya.

Justeru itu, Mohd Zaidi memohon supaya kes dihentikan dan permohonan itu tidak dibantah oleh peguam syarie Amli Embong yang mewakili Nash.

Sementara itu, Nash atau nama sebenarnya Jamaludin Elias, 51, yang ditemui di luar mahkamah meluahkan rasa syukur kerana kes tersebut dapat diselesaikan secara baik.

Vokalis kumpulan Lefthanded tersebut juga mengambil kesempatan untuk mengajak pihak media yang membuat liputan untuk sama-sama bersedekah Al-Fatihah kepada Sosilawati.

"Saya sentiasa berdoa agar rohnya ditempatkan di kalangan orang yang solehah," katanya.

Selain itu, penyanyi lagu Pada syurga di wajahmu itu juga memberitahu, dia tidak mempunyai masalah dengan ahli keluarga pengasas kosmetik Nouvelle Visages, termasuklah dengan anak-anak tirinya.

"Saya juga akan berjumpa dengan anak-anak Sosilawati dalam masa terdekat untuk menyelesaikan sebarang masalah berkaitan dengan tuntutan ini," katanya lagi.

Meskipun prosiding mahkamah telah ditamatkan secara rasmi, kes tuntutan yang dimulakan oleh Sosilawati, 47, pada 21 November 2009 berkemungkinan akan diteruskan oleh anak-anaknya pada masa akan datang.

Mohd Zaidi berkata, beliau telah berjumpa dengan anak sulung Sosilawati, Erni Dekritawati Yuliana Buhari pada dua minggu lalu yang kelihatan ‘positif’ untuk menamatkan urusan ibunya.

“Sekarang ini, kami telah memulakan prosedur pengesahan waris-waris, yang perlu dilakukan terlebih dahulu sebelum mereka boleh menjadi plaintif atau penuntut dalam permohonan ini,” katanya.

Sosilawati, 47, memfailkan permohonan bagi menuntut RM1.38 daripada Nash yang meliputi RM200,000 di dalam Amanah Saham Bumiputera dan RM200,000 dalam Amanah Saham Wawasan manakala RM500,000 dilaburkan ke dalam dua akaun saham Public Mutual Berhad.

Bakinya RM480,000 pula didakwa telah digunakan untuk membayar hutang pinjaman bank sebuah rumah teres dua tingkat milik Nash yang terletak di Seksyen 7, di sini.

Sosilawati dan Nash berkahwin pada 16 November 2006 di Batu Pahat, Johor dan sah bercerai dengan talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, dekat sini pada 26 Mei 2009.

Berita pembunuhan kejam Sosilawati menggemparkan negara beberapa hari selepas umat Islam menyambut Hari Raya Aidilfitri pada tahun 2010 dan turut didakwa dibunuh bersamanya ialah pegawai bank CIMB, Noorhisham Mohamad, peguam Ahmad Kamal Abdul Karim dan pemandu, Kamaruddin Shamsuddin.

Seorang bekas peguam, N. Pathmanaban, 42, dan tiga orang pekerja ladang, T.Thilaiyagan, 20, R Matan, 21, dan R.Kathavarayan, 31, akan dibicarakan di Mahkamah Tinggi di sini pada 4Julai depan atas pertuduhan melakukan pembunuhan itu.

Kesalahan itu didakwa dilakukan antara pukul 8.30 dan 9.45 malam, 30 Ogos 2010 di sebuah ladang lot 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, Banting, dekat sini.

Dua lagi pekerja ladang, iaitu K. Sarawanan, 27, dan U. Suresh, 20, pula masing-masing dihukum penjara selama dua dekad atas pertuduhan melupuskan bukti pembunuhan tersebut. Mereka kini sedang menunggu prosiding rayuan yang di Mahkamah Rayuan.

Sarawanan sebelum ini mengaku bersalah membakar mayat semua mangsa manakala Suresh pula mengaku membuang abu mayat mangsa ke dalam Sungai Panchau, Banting.

Artikel Lain