suria

Warga Iran Tukar Taktik Seludup syabu Guna Pesawat Domestik

JOHOR BAHARU: Polis berjaya mematahkan cubaan dua lelaki warga Iran menyeludup 4.55 kilogram dadah jenis syabu melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Ismail, Senai, dekat sini, Rabu lepas.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Sharif, berkata pada Sabtu, kedua-dua lelaki yang menaiki penerbangan domestik dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sepang ditahan sebaik tiba di sini pada pukul 4.30 petang.

Kedua-dua suspek berusia 22 dan 27 tahun itu, yang dipercayai anggota sindiket pengedaran dadah antarabangsa, ditahan selepas polis menemui dadah tersebut disorok dalam ruang khas sebuah beg troli milik kedua-dua lelaki itu.

Katanya hasil tangkapan itu dilakukan oleh gerakan bersepadu Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Johor dan Bukit Aman.

"Dadah tersebut dianggarkan bernilai RM1.2 juta di pasaran tempatan dan boleh dibekalkan kepada 15,000 penagih," katanya pada sidang media di sini. Mokhtar berkata mengikut rekod pasport antarabangsa milik suspek, seorang daripadanya kerap datang ke negara ini sejak 2009.

Katanya suspek dipercayai menukar modus operandi dengan menggunakan pesawat domestik berikutan kawalan ketat di KLIA.

Beliau enggan mengulas bagaimana dadah itu berjaya melepasi pihak keselamatan di KLIA namun berkata hasil intipan yang efisyen telah membawa kepada penangkapan suspek tersebut.

Katanya hasil ujian air kencing ke atas kedua-dua suspek itu menunjukkan negatif dadah.

Menurutnya mereka akan cuba mendapatkan khidmat juru bahasa Iran bagi membantu polis menyiasat kes itu mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan. - BERNAMA

Artikel Lain