suria

44,000 KG Minyak Subsidi Yang Dibungkus Semula Untuk Diseludup Dirampas

KUALA LUMPUR: Sebanyak 44,000 kilogram minyak masak bernilai RM110,000 dirampas dalam serbuan di sebuah kilang di Taman Industri Bolton Gombak di sini yang dipercayai membungkus semula minyak masak subsidi untuk diseludup ke luar negara.

Ketua Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Selangor Othman Nawang berkata serbuan pada pukul 9.40 malam tadi dan melibatkan 10 pegawai dibuat setelah seminggu risikan dijalankan dan maklumat orang awam.

Beliau berkata turut ditahan ialah 12 pekerja termasuk tujuh rakyat Myanmar yang berumur antara 19 dan 40-an.

"Ketika ditahan mereka sedang asyik melakukan proses membungkus semula minyak masak ke dalam tong yang boleh dimuatkan sebanyak 17kg satu tong di dalam premis yang tertutup itu," katanya kepada pemberita di lokasi serbuan.

Othman berkata pihaknya turut menemui dua lori kontena dan sebuah daripada kontena itu mempunyai 1,800 tong minyak masak dan satu lagi kontena kosong yang mempunyai tulisan Thailand.

"Lori kontena terbabit dipercayai digunakan untuk menyeludup minyak keluar dari negara ini dan kami turut menemui sebuah lori yang penuh dengan muatan minyak masak yang belum dibungkus semula," katanya.

Beliau berkata modus operandi mereka adalah dengan keluar mencari dan membeli minyak 1kg yang berharga RM2.50 di sekitar lembah Klang seawal pukul 7 pagi sehingga pukul 11 malam dan menghantar minyak-minyak itu untuk dibungkus semula di premis bekenaan secepat mungkin.

"Kira-kira pukul 12 tengah malam hingga 2 pagi, mereka akan bergerak dari premis ke kawasan sempadan atau pelabuhan seperti Pelabuhan Klang untuk menyeludup minyak," katanya.

Beliau berkata mereka mengaut keuntungan jutaan ringgit dengan menjual minyak-minyak itu ke luar negara kerana harganya lebih tinggi iaitu dua kali ganda berbanding dalam negara dan dipercayai mereka telah menjalankan kegiatan itu hampir empat bulan.

"Di sini dianggarkan satu paket minyak 1kg berharga RM2.50 untuk harga subsidi jadi di luar mereka boleh menjual sehingga RM4.60," katanya.- BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain