suria

Wisma Putra Mahu Individu Keluar Dari Malaysia Lalui Pemeriksaan Ketat

KUCHING: Kementerian Luar mahu tahap pemeriksaan ke atas individu yang hendak meninggalkan negara ini dipertingkatkan bagi mengekang aktiviti 'keldai dadah'.

Timbalan Menterinya Datuk Richard Riot berkata perkara itu akan dibangkitkan dalam mesyuarat Kabinet minggu depan, dalam usaha kerajaan mengatasi masalah rakyat negara ini dijadikan alat oleh sindiket penyeludupan dadah antarabangsa.

"Ini bukannya untuk mencari kelemahan agensi yang bertanggungjawab, kerana kawalan keselamatan di pintu keluar negara (lapangan terbang) mesti diperketatkan," katanya kepada pemberita, di sini, Isnin.

Beliau berkata buat masa ini, timbul persoalan bagaimana pihak terbabit berjaya melepasi pemeriksaan di negara ini tetapi ditahan apabila tiba di lapangan terbang negara lain.

Sambil merujuk kepada statistik rakyat negara yang ditahan di luar negara, Riot berkata daripada 1,880 orang yang ditahan sejak 1991, seramai 833 adalah kerana kes dadah.

Katanya kes terbaru membabitkan seorang pelajar kolej swasta di Kota Damansara, yang telah ditahan pihak berkuasa di Lapangan Terbang Antarabangsa Guangzhou, China, kerana dipercayai cuba menyeludup masuk kira-kira 700 gram heroin.

"Pelajar berasal dari Betong, Sarawak itu secara sukarela menelan 100 biji pil dadah jenis heroin dan ditawarkan upah sebanyak RM5,000 oleh seorang teman lelaki berasal dari Afrika Selatan, dikenali sebagai Chimezie Michael yang mangsa kenali melalui laman sosial Facebook," katanya.

Riot juga meluahkan kebimbangan dengan peningkatan kes warga Malaysia terbabit dalam sindiket dadah antarabangsa, yang mana dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini seramai 11 orang telah ditahan di luar negara.

Daripada jumlah itu, sembilan adalah wanita, katanya.

Beliau berkata walaupun jumlah kes menurun pada tahun lalu iaitu hanya 75 kes, namun dua tahun sebelumnya menunjukkan peningkatan iaitu 115 kes (2008) dan 119 Kes (2009).

Katanya dalam tempoh 20 tahun, rakyat Malaysia antara paling ramai ditahan kerana terbabit dengan pengedaran dadah iaitu 833 orang, selain Thailand (272), Singapura (164), Taiwan (125) dan China (82). -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain