suria

Raja Azmi... janganlah merajuk

Raja Azmi
Raja Azmi
Raja Azmi

SAYA tersenyum apabila seorang teman memberitahu saya produser sensasi dan popular, Raja Azmi merajuk.

Kata rakan saya itu, dia terserempak dengan Raja Azmi di sebuah majlis dan Raja Azmi meluahkan isi hati kononnya dia berkecil hati dengan segelintir wartawan. Nama saya turut terlibat.

Saya tidak terkejut pun dengan berita itu kerana dalam minggu lalu juga saya ada menerima mesej daripada Raja Azmi yang meluahkan rasa kecewanya kerana portal berita mStar Online mendedahkan jumlah kutipan filem ...Dalam Botol.

Jumlah itu diambil daripada sumber Finas dan juga pihak pengedar filem tersebut iaitu David Teo.

Rupa-rupanya SMS yang sama turut diberikan kepada wartawan lain yang menyebabkan ramai di kalangan mereka bertanyakan perkara itu kepada saya.

Saya memberitahu mereka, berita yang disiarkan itu bukan berita rekaan. Jumlah kutipan sesebuah filem bukanlah sesuatu isu besar atau isu yang terlalu sensitif pun.

Sumber dipetik daripada pihak yang benar iaitu Finas dan juga David Teo selaku pengedar. Saya memberitahu rakan-rakan saya, takkan itu pun Kak Mi (panggilan untuk Raja Azmi) nak kecil hati?

Minggu lalu beberapa akhbar utama menyiarkan keluhan dan juga jawapan balas Raja Azmi. Ada yang melaporkan Raja Azmi menangis teresak-esak.

Saya amat simpati. Malah Raja Azmi turut berkata dia terkilan kawan-kawan media yang baik dengannya sanggup melaporkan kutipan filemnya ...Dalam Botol kononnya tak sampai RM1 juta.

Bila sampai bab itu, saya terkedu sekejap. Saya terfikir selama ni Raja Azmi berkawan baik dengan orang media sebab dia tak mahu produknya dikritik?

Kalau macam tu, saya memang berkecil hati. Kepada saya, apabila seseorang itu berkawan baik, dia perlulah menerima kritikan kawan-kawannya.

Itulah kejujuran dalam sesebuah perhubungan. Hubungan yang baik mesti ada sikap toleransi dan saling bantu-membantu. Bukan hanya memuji sampai ke langit.

Saya percaya, semasa filem ...Dalam Botol dalam proses pembikinan dan mencari pelakon, sayalah antara wartawan yang banyak memberi publisiti kepada filem itu. Bukan niat nak mengungkit tetapi untuk memberitahu bahawa seorang rakan macam saya mahu melihat rakannya berjaya apatah lagi produser seperti Raja Azmi.

Bukan saja saya malah rakan-rakan saya yang lain juga berbuat demikian atas dasar hubungan baik itu.

Jika dikumpulkan keratan akhbar yang mempromosikan ...Dalam Botol, saya rasa jumlahnya lebih daripada sebakul.

Kalau dikumpul pula kritikan terhadap Raja Azmi, usah kata sebakul, seinci pun tak sampai. Ini bermakna rakan-rakan Raja Azmi mahu melihat filem dia berjaya dan mahu tolong dia.

Saya melihat segelintir daripada kita selalu mengambil kritikan sebagai perkara yang negatif. Kritikan sebenarnya perlu dalam dunia hiburan kita.

Tanpa kritikan, kita sentiasa merasakan kita sempurna dan bagus. Akhirnya kita akan tenggelam dalam dunia dan keseronokan tersendiri tanpa kita menyedari kesilapan diri kita.

Tanpa kritikan juga seperti kita melihat sesuatu perkara itu daripada kaca mata kita sendiri.

Artis-artis yang hebat dan berjaya seperti Datuk Siti Nurhaliza pun tidak terlepas daripada kritikan.

Saya tahu, tak semua orang boleh menerima dan suka kritikan. Itu adalah sifat semula jadi manusia.

Bagi saya, kritikan itu amat penting. Sebab itulah jika saya mempunyai ramai rakan, saya akan terus mengkritik mereka dan begitu juga mereka.

Sebab itulah saya bangga dengan diri saya sendiri kerana saya punyai rakan-rakan yang jujur. Disebabkan kritikan itulah saya tahu mereka sebenarnya rakan yang baik. Buat Kak Mi, janganlah merajuk... alaa.. cayang!

NIEZAM: Terkejut dengan penyanyi yang cakap belit-belit. Ular ke?

Ikut cara Jamal Abdillah

SAYA tabik kepada penyanyi Jamal Abdillah. Saya sangka Jamal hanya hebat di pentas dan tak hebat tentang perkara lain. Tapi sangkaan saya itu meleset sama sekali.

Jamal berjaya meletakkan kedudukannya sebagai artis hebat yang tidak boleh dipermainkan.

Saya memuji Jamal selepas membaca pendapat dia kenapa dia menolak tawaran berlakon filem Azura 2011.

Kata Jamal, syarikat produksi filem itu tak mampu nak bagi bayaran yang tinggi kepadanya. Sebab itulah dia tak mahu berlakon filem itu. Daripada dapat bayaran “ciput”, lebih baik dia menyanyi cukuplah.

Tindakan Jamal itu ada benarnya. Sebagai artis yang dah senior macam Jamal, dia tidak perlukan populariti lagi sebab dia dah memang popular.

Artis-artis baru tu lainlah. Mereka tak popular dan mereka perlukan publisiti untuk hidup. Jadi soal bayaran mereka terpaksa boleh lebih kurang.

Artis yang macam Jamal sebenarnya perlukan duit berdasarkan kepada populariti yang telah dia cipta bertahun-tahun.

Tindakan Jamal yang menolak tawaran itu kerana bayaran “ciput” bukan satu perkara yang salah. Tetapi tak semua artis boleh buat macam apa yang Jamal buat.

Kalau semua artis kita macam Jamal, saya percaya artis-artis kita tak akan ditindas oleh sesetengah pihak yang kadang-kala mahu untung lebih, bayar pula kurang.

Saya kasihan dengan sesetengah artis yang terpaksa ikut telunjuk pihak-pihak tertentu soal bayaran. Kalau mereka tolak tawaran itu, syarikat produksi ada hak untuk memilih artis lain.

Sekiranya artis kita bersatu dengan meletakkan nilai eksklusif mereka sendiri seperti mana yang dibuat oleh Jamal, pastinya artis-artis kita tak akan dipermainkan macam bola.

NIEZAM: Main sorok-sorok.

Artikel Lain