suria

SPR Minta Ejen Parti Tidak Ganggu Petugas, Elak Lewat Umum Keputusan

KUCHING: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) meminta ejen atau wakil parti bertanding supaya tidak mengganggu petugas-petugas SPR ketika proses pengiraan undi untuk mengelak berlakunya kelewatan pengumuman keputusan pilihan raya negeri Sarawak esok.

Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata ejen dan wakil parti dijemput menjadi saksi dalam bilik mengira undi iaitu undi biasa atau undi pos tetapi yang berkuasa adalah ketua tempat mengundi.

"Wakil parti hanya saksi. Jangan mengganggu melampau sangat kepada petugas-petugas SPR. Mereka boleh buat bantahan tetapi kena munasabah. Jadi bagi pilihan raya Sarawak, hanya seorang ejen parti bertanding dibenarkan masuk.

"Kita tidak mahu jadi seperti (pilihan raya kecil) di Sibu. Di Sibu terlalu ramai ejen. Tak nak kerana itu pengumuman lewat. Bila keputusan dibuat... selesailah," katanya kepada pemberita selepas menyaksikan proses penyemakan isi peti undi di Majlis Bandaraya Kuching Selatan di sini, Jumaat.

Beliau berkata apa yang berlaku ialah kebanyakan ejen dan wakil parti adalah dari Semenanjung dan bukan orang Sarawak.

"Jangan sesekali mengganggu petugas kami. Kami tak ada agenda apa-apa. Apa yang kami buat bermula daripada proses penamaan calon hinggalah pengumuman keputusan adalah berdasarkan undang-undang. Jika mengganggu, polis akan ambil tindakan," katanya. Sementara itu, Abdul Aziz berkata segala peralatan mengundi akan diedarkan kepada semua 1,749 pusat mengundi yang melibatkan 2,606 saluran mengundi dan 71 pusat penjumlahan rasmi undi telah diwujudkan.

"Sebanyak 1,071 pusat mengundi adalah di sekolah, 126 di balai raya, 59 dewan serbaguna, rumah panjang (401) dan lain-lain (91). Contoh pusat mengundi yang lain adalah bangunan di tepi masjid dan tepi surau.

"Bagi pilihan raya kali ini hanya ada satu pusat pengiraan undi berkelompok berbanding 50 pada 2006. Ia melibatkan 10 pusat mengundi dengan 872 pengundi. Kawasan lain pusat pengiraan undi di pusat mengundi itu sendiri," katanya.

Beliau berkata hanya 15 daripada 71 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang melibatkan penggunaan helikopter iaitu 101 pusat mengundi dengan 110 saluran mengundi.

"Kali ini kita sediakan 27 helikopter dan dua pesawat. Ia melibatkan 100 pasukan petugas SPR, 79 pasukan guna helikopter masa balik sahaja, 21 lagi pasukan guna untuk pergi dan balik," katanya.

Sementara itu, Abdul Aziz berkata ada pusat pengundian dibuka bagi tempoh tertentu sahaja kerana jumlah pengundi yang tidak ramai memandangkan ada kawasan hanya mempunyai 20 pengundi.

"Ada 24 pusat mengundi dibuka dari pukul 8 pagi hingga 9 pagi; 8 hingga 9.30 pagi (21 pusat mengundi); 8 pagi hingga 10 pagi (11); 8 pagi hingga 10.30 pagi (6); 8 pagi hingga 11 pagi (163); 8 pagi hingga 11.30 pagi (323); 8 pagi hingga 12 tengah hari (293);

Selain itu, 8 pagi hingga 12.30 tengah hari (9); 8 pagi hingga 1 tengah hari (188); 8 pagi hingga 1.30 tengah hari (1); 8 pagi hingga 2 petang (127); 8 pagi hingga 3 petang (140); 8 pagi hingga 3.30 petang (1); 8 pagi hingga 4 petang (106); 8 pagi hingga 4.30 petang (2) dan 8 pagi hingga 5 petang (260)," katanya.

Mengenai kawasan panas, beliau berkata takrifan SPR bagi kawasan panas adalah berdasarkan saingan sengit dan kali ini di kawasan bandar berdasarkan kempen-kempen dan kemenangan yang agak kecil pada pilihan raya dahulu.

Beliau berkata seramai 25,000 petugas SPR terlibat dengan pilihan raya kali ini.

Di MIRI, Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar berkata ejen calon yang cuba mengganggu proses kerja petugas SPR semasa mengira undi akan diusir keluar dari pusat pengiraan dengan bantuan polis.

Pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Miri hari ini, Wan Ahmad berkata tindakan tegas itu perlu berdasarkan pengalaman pada pilihan raya umum dan pilihan raya kecil lepas apabila terdapat wakil-wakil calon yang cuba menakut-nakutkan petugas SPR dalam menjalankan tugas mereka.

Beliau berkata wakil-wakil calon sepatutnya menghormati keistimewaan yang diberi untuk membolehkan mereka hadir di pusat-pusat pengiraan undi dan memberi kerjasama sepenuhnya kepada petugas-petugas SPR yang terlibat.

Sebelum itu, Wan Ahmad mengadakan pertemuan dengan Ketua Polis Daerah Miri ACP Jamaludin Ibrahim untuk membincangkan kerjasama di antara SPR dan polis dalam memastikan kelancaran proses pilihan raya di negeri ini.

Wan Ahmad turut membuat lawatan ke pusat-pusat pengundian bagi kawasan-kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lambir dan Pujut di sini untuk meninjau persiapan terakhir untuk hari pengundian esok. -BERNAMA

Artikel Lain