suria

Trio Datuk 'T' Tidak Dilindungi Akta Pemberi Maklumat: Mohamed Nazri

KUALA LUMPUR: Trio Datuk 'T' yang mendedahkan rakaman video aksi seks didakwa melibatkan mirip seorang pemimpin pembangkang tidak akan dilindungi di bawah Akta Pemberi Maklumat sekiranya pihak berkuasa mendapati ada kes.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, berkata mereka tidak boleh mendapat perlindungan di bawah akta itu kerana mereka telah mendedahkan maklumat itu kepada orang awam.

Bagaimanapun, mereka boleh dilindungi di bawah Akta Perlindungan Saksi sekiranya berlaku pertuduhan bersabit dengan video seks itu selepas siasatan dilakukan.

"Apabila seseorang itu telah memaklumkan atau menzahirkan kepada awam bahawa dialah yang telah memberikan maklumat itu, maka akta itu (Akta Pemberi Maklumat) tidak boleh dipakai lagi ke atasnya," katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan (2010) 2011 bagi Jabatan Perdana Menteri di Dewan Rakyat, Rabu.

"Sesiapa sahaja yang pergi kepada akhbar atau menzahirkan kepada akhbar tentang maklumat, maka tidak boleh dilindungi. Maka apa yang saya katakan sebagai 'kemungkinan' sebelum ini, tidak lagi boleh dipakai," katanya.

Semalam, Mohamed Nazri berkata trio Datuk 'T' yang terdiri daripada bekas Ketua Menteri Melaka Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik, ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay Abdullah dan Bendahari Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) Datuk Shuib Lazim akan dilindungi di bawah kedua-dua Akta berkenaan sekiranya pihak berkuasa mendapati ada kes.

Mohamed Nazri turut menegaskan tidak wujud campur tangan dari pihak kerajaan dalam siasatan yang dijalankan terhadap kes itu seperti yang didakwa oleh pembangkang.

Katanya pertimbangan untuk menubuhkan Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat rakaman video seks itu hanya akan diputuskan selepas siasatan penuh mengenai perkara selesai dijalankan.

"Paling terbaik sekali adalah serah kepada polis untuk menyiasat dan tunggu keputusan siasatan, barulah kita tahu apa tindakan selanjutnya," katanya.

Menjawab desakan Wee Choo Keong (Bebas-Wangsa Maju) yang mahu kerajaan segera menubuhkan Suruhanjaya Diraja, Mohamed Nazri berkata kerajaan tidak takut untuk menubuhkan suruhanjaya itu sebaliknya masih menunggu hasil siasatan polis.

Persidangan Dewan Rakyat bersambung esok. - BERNAMA

Artikel Lain