suria

Kesemua Exco Kerajaann Perlis Dilantik Semula

KANGAR: Kesemua lapan anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perlis yang penggal perkhidmatan mereka berakhir semalam dilantik semula memegang jawatan masing-masing pada Rabu.

Mereka ialah anggota dewan undangan negeri kawasan Pauh, Datuk Seri Diraja Syed Razlan Putra Jamalullail, Sabry Ahmad (Santan), Ahmad Bakri Ali (Kayang), Abdul Jamil Saad (Sena), Datuk Mat Rawi Kassim (Beseri), Jafperi Othman (Guar Sanji), Mansor Jusoh (Chuping) dan Dr Por Choo Chor (Indera Kayangan).

Mereka mengangkat sumpah memegang jawatan itu bagi tempoh setahun lagi di hadapan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail di Istana Arau pada Rabu.

Bagaimanapun tiada pengumuman dibuat sama ada mereka akan kekal dengan portfolio masing-masing atau berlaku rombakan portfolio.

Sebelum ini Syed Razlan menerajui portfolio Pelaburan, Perdagangan, Industri dan Hubungan Antarabangsa; Sabry (Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Koperasi); Ahmad Bakri (Pelancongan, Kesihatan dan Pembangunan Luar Bandar); Abdul Jamil (Belia, Sukan dan Kebudayaan); dan Mat Rawi (Tanah, Perhutanan, Alam Sekitar, Penguatkuasaan dan Kepenggunaan).

Jafperi pula menerajui portfolio Agama Islam, Jawatankuasa Hadhari dan Pembangunnan As-Sunnah; Mansor Jusoh (Hal Ehwal Wanita, Kebajikan dan Hal Ehwal Pengguna) dan Dr Por (Perumahan dan Kerajaan Tempatan).

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail turut berangkat ke majlis angkat sumpah itu. Turut hadir ialah Menteri Besar, Datuk Seri Dr Md Isa Sabu.

Sementara itu, Raja Perlis dalam titah ucapannya selepas majlis angkat sumpah berharap barisan Exco yang dilantik itu dapat melaksanakan tugas dengan penuh keikhlasan dalam mencorak pembangunan negeri dan rakyat.

Titah baginda, tanpa keikhlasan akan memungkinkan mereka terdorong untuk melaksanakan agenda sendiri sehingga merugikan negeri dan rakyat.

Baginda menyarankan, wakil-wakil rakyat mengadakan mesyuarat tidak rasmi sekurang-kurangnya dua bulan sekali di samping mesyuarat rasmi yang antara lain membincangkan masalah rakyat dan langkah menanganinya. -BERNAMA

Artikel Lain