suria

ADUN Serkam Angkat Sumpah Sebagai Exco Baru Melaka

MELAKA: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serkam, Datuk Ghazale Muhamad, 55, mengangkat sumpah jawatan sebagai anggota Exco kerajaan negeri Melaka yang baru di Istana Melaka di sini, Selasa.

Ghazale, ADUN penggal pertama dan timbalan pengerusi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) mengangkat sumpah jawatan dan sumpah kerahsiaan di hadapan Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Khalil Yaakob.

Turut hadir ialah Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Ali Rustam, Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Othman Muhamad dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Omar Kaseh.

"Saya rasa syukur ke atas Allah SWT atas jawatan ini dan juga jutaan terima kasih kepada Mohd Ali atas kepercayaan kepada saya menggantikan ruang kosong yang ditinggalkan oleh Allahyarham Datuk Mohamad Hidhir Abu Hasan," katanya kepada pemberita selepas majlis angkat sumpah.

Beliau mengisi kekosongan jawatan Allahyarham Mohamad Hidhir, 54, ADUN Merlimau dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Desa dan Pertanian Negeri yang meninggal dunia pada 20 Januari lepas akibat serangan jantung. Ghazale yang juga Setiausaha Umno Bahagian Jasin sejak 1999 berkata, beliau akan memperkuatkan iltizam untuk membantu pentadbiran dalam merealisasikan hasrat dan cita-cita keraajaan negeri.

Sementara itu, Mohd Ali ketika ditemui pemberita berkata pelantikan Ghazale sebagai anggota Exco yang baru itu akan menyumbangkan fikiran dan tenaga untuk bersama-sama menguatkan kerajaan dan dalam memberi khidmat bersungguh-sungguh kepada rakyat.

Beliau berkata, portfolio anggota Exco kerajaan negeri akan diumumkan esok selepas mesyuarat mingguan Exco di Seri Negeri di sini.

"Sebagaimana yang dinyatakan sebelum ini, semua anggota Exco sedia ada akan dikekalkan cuma berlaku perubahan portfolio supaya mereka dapat merasakan perubahan baru kepada tugasan mereka," katanya.

Melaka mempunyai 10 orang anggota Exco iaitu tujuh daripada Umno, dua (MCA) dan satu (MIC). - BERNAMA

Artikel Lain