suria

Dua Sepupu Maut Kereta Terbabas Rempuh Lori

MARANG: Dua sepupu maut apabila kenderaan yang mereka naiki terbabas dan melanggar sebuah lori yang diletakkan di tepi jalan di kilometer 13.5, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan berhampiran Kampung Rusila, di sini pada Ahad.

Muhammad Shukri Awang, 41, dan sepupunya Ismail Ibrahim, 38, dari Chendering, Kuala Terengganu, cedera parah di kepala dan mati di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Marang DSP Mazlan Yahya berkata dalam kejadian pada pukul 5 pagi itu, kereta yang dipandu Muhammad Shukri dipercayai terbabas dan masuk ke laluan bersebelahan lalu merempuh sebuah lori 16 tan yang diletakkan di tepi jalan.

"Berdasarkan maklumat yang diterima, kedua-duanya dalam perjalanan pulang ke Kuala Terengganu dari Kuantan, Pahang kerana Muhammad Shukri menjalani pemeriksaan kesihatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan.

"Sepupunya itu menemani Muhammad Shukri ke sana," katanya kepada pemberita, di sini. Beliau berkata kedua-dua lelaki itu bekerja sebagai jurukimpal.

Mayat mereka dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu untuk bedah siasat.- BERNAMA

Artikel Lain