suria

KSN Ketuai Senarai 256 Terima Darjah Kebesaran Wilayah Persekutuan

KUALA LUMPUR: Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan pada Selasa mengetuai senarai 256 penerima darjah kebesaran, bintang dan pingat Wilayah Persekutuan sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2011.

Istiadat pengurniaan Darjah Seri Utama Mahkota Wilayah (SUMW) kepada beliau disempurnakan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin di Balairong Seri Istana Melawati, Putrajaya.

Turut menerima anugerah darjah SUMW yang membawa gelaran Datuk Seri Utama itu ialah Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Pengarah Bukan Eksekutif Bebas Public Bank Berhad, Tan Sri Thong Yaw Hong.

Pengarah Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Seri Akhil Bulat, Presiden Parti Progresif Penduduk, Datuk M. Kayveas dan Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Hartanah dan Pemaju Malaysia, Datuk Seri Yam Kong Choy pula merupakan tiga individu yang dianugerahkan darjah Seri Mahkota Wilayah (SMW) yang membawa gelaran Datuk Seri pada tahun ini.

Tahun ini merupakan kali keempat darjah kebesaran, bintang dan pingat Wilayah Persekutuan dianugerahkan kepada individu-individu yang berjasa membangunkan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

Selain itu, seramai 35 individu dianugerahkan Panglima Mahkota Wilayah (PMW) yang membawa gelaran Datuk termasuk Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Malaya, Datuk Dr Hamid Sultan Abu Backer, Pengarah Eksekutif Kumpulan Utusan Melayu (Malaysia) Berhad, Datuk Mohd Nasir Ali, Pengarah Urusan New Straits Times Press, Nuraina Abdul Samad, bekas atlet menembak Sabiamad Abdul Ahad, bekas pemain bola sepak kebangsaan, Santokh Singh Gurdial Singh, Pesuruhjaya Suruhanjaya Sekuriti, Datuk Tah Leh Kiah, Pengarah Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia, Datuk Mustafar Ali, Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Datuk Che Mat Che Ali dan Ketua Pengarah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Datuk Salleh Yusup.

Turut menerima pengurniaan PMW ialah Pengarah Institut Perubatan Respiratori, Datuk Dr Aziah Ahmad Mahayiddin, Timbalan Ketua Pengarah Unit Perancangan Ekonomi Jabatan Perdana Menteri, Datuk Himmat Singh Ralla Singh, Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi, Datuk Ab Rahim Md Noor, Ketua Jabatan Dermatologi Hospital Kuala Lumpur, Datuk Dr Rashidah Baba, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Bakaruddin Othman, Pegawai Khas Perdana Menteri, Ravindren Chelliah P Ponniah, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Anan C. Mohd dan Ketua Pengarah Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan, Datuk Azizan Abd Rahman.

Pakar Perunding Jabatan Kardiologi Dan Elektrofisiologi Institut Jantung Negara (IJN), Datuk Dr Razali Omar, Pakar Kardiologi Jabatan Kardiologi Dan Elektrofisiologi IJN, Datuk Dr Azhari Rosman, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Pelaburan Hartanah Berhad, Kamalul Arifin Othman, Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Resources Corporation Berhad, Mohamed Razeek Md Hussin Maricar, Profesor Institut Sains Biologi Universiti Malaya (UM), Profesor Dr Amru Nasrulhaq Boyce, Profesor Jabatan Perubatan Molekul UM, Profesor Dr Rohana Yusof, Pengerusi SCRC Holding Berhad, Low Wui Keong, Ketua Wanita UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Azizah Abd Samad, Presiden Parti Makkal Sakti Malaysia, R. Thanenthiran dan Timbalan Ketua MCA Bahagian Kepong, Ong Teck Eng turut dikurniakan PMW.

Melengkapi senarai penerima darjah PMW ialah Setiausaha Biro Pendidikan Parti MIC Wilayah Persekutuan, A.Sothinathan, Yang Dipertua Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Wilayah Persekutuan, Bahrim @ Baharuddin A Razak, Presiden Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur, Liew Kon Seng, Presiden Persatuan Penduduk Taman Lucky Kuala Lumpur, Ir Nordeen Mohd Salleh, Timbalan Presiden Persatuan Bekas Pegawai-Pegawai Kanan DBKL, Khuzaimah Yunos, Timbalan Presiden Operasi Keselamatan Resorts World Berhad, Paul Kiong, Doktor Pakar Telinga Hidung dan Pekak Prince Court Hospital Kuala Lumpur, Dr Kuljit Singh Mahindar Singh dan Pengarah Radzuan Fashion Design, Radzuan Radzi.

Seramai 25 orang menerima bintang Johan Mahkota Wilayah (JMW), 50 menerima bintang Kesatria Mahkota Wilayah (KMW), 66 orang termasuk Editor Perkhidmatan Luar Negeri dan Antarabangsa Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA), Nor Faridah Abdul Rashid dianugerahi Ahli Mahkota Wilayah (AMW) dan 74 lagi menerima Pingat Pangkuan Mahkota Wilayah(PPW). - BERNAMA

Artikel Lain