suria

Rita Rudaini akhirnya cium tangan mertua

Rita dan Adil bersama anak mereka Airit Rayyan.
Rita dan Adil bersama anak mereka Airit Rayyan.
Rita dan Adil bersama anak mereka Airit Rayyan.

PERASAAN marah terpadam juga. Itulah yang boleh Niezam katakan mengenai hubungan Rita Rudaini Mokhtar dengan ibu dan bapa mertuanya, Abdul Radzak Salleh dan Azizah Arshad yang tegang sejak hampir tiga tahun lalu gara-gara perkahwinan yang tidak mendapat restu.

Syukurlah selepas tiga tahun, kekeruhan ini dapat dijernihkan semula.

Drama yang penuh syahdu dan air mata itu berlaku pada malam Khamis lalu di Pusat Perubatan Prince Court, Kuala Lumpur. Niezam tumpang terharu dan bersyukur kerana usaha untuk melihat keluarga itu aman bahagia terlaksana juga.

Detik itu berlaku ketika anak Rita, Airit Rayyan Rizqin yang berusia dua tahun dimasukkan ke pusat perubatan tersebut kerana demam panas.

Suami Rita yang juga pemain bola sepak kebangsaan dan Negeri Sembilan, Aidil Zafuan bertindak membawa ibu dan bapanya untuk menziarahi Rayyan.

Ketika mereka tiba, Rita telah meluahkan segala yang terbuku di hati sehinggalah kedua-dua pihak akhirnya mengambil jalan penyelesaian untuk berdamai.

Rita tidak dapat menahan sebak tatkala mencium tangan ibu dan bapa mertua yang pernah dianggap “musuh” dalam dirinya selama ini.

Mereka menangis berpelukan dan tidak mahu memanjangkan lagi kekeruhan yang sekian lama terjadi.

“Mak restu perkahwinan Rita. Mak terima Rita sebagai anak mak,” kata Azizah memeluk Rita di wad kanak-kanak pusat perubatan itu.

Drama air mata berkenaan turut disaksikan oleh keluarga kedua-dua belah pihak.

Sebagai menantu, Rita turut menerima ibu dan bapa mertuanya dengan hati terbuka dan berjanji untuk melupakan sengketa lama.

Syukurlah... yang keruh dapat dijernihkan semula. Itulah yang kita harapkan. Mudah-mudahan ia kekal berpanjangan dan keluarga itu hidup aman harmoni sama seperti orang lain.

NIEZAM: Bahagia cukup bahagia.

Artis Malaysia perlu kejar wang

NIEZAM tertarik untuk mengulas tindakan penerbit drama A.Aida yang mahu menyaman pelakon Sheera Iskandar kerana menganggap pelakon drama Halimah Jongang itu kurang ajar.

Dalam satu laporan akhbar, A.Aida kurang senang dengan perbuatan Sheera yang telah memotong rambutnya menjadi pendek menyebabkan A.Aida terpaksa membeli rambut palsu lain agar imej Sheera tidak lari dalam drama Halimah Jongang itu.

“Lari konti” ialah imej dalam sesuatu drama itu berubah kerana kesilapan pelakon mengubah penampilan.

Kejadian itu berlaku apabila Sheera terlibat dalam produksi lain yang memerlukan dia berambut pendek. Dalam masa yang sama dia turut berlakon dengan produksi A.Aida.

Niezam percaya, apa yang berlaku kepada Sheera itu turut terjadi kepada artis-artis lain. Di Malaysia, pelakon kita terpaksa kejar duit.

Kalau ada 10 syarikat produksi yang nak buat drama, pelakon-pelakon kita kalau boleh nak berlakon dalam semua produksi itu.

Niezam pernah berborak dengan pengarah Datuk Yusof Haslam. Kata Yusof, dia pernah mengalami masalah yang sama apabila pelakonnya turut berlakon dengan produksi lain sehingga tempoh penggambaran terpaksa ditunda kerana pelakon datang lambat.

Hal ini sememangnya berlaku di Malaysia. Niezam tak salahkan Sheera kerana dia bukan kerja makan gaji macam orang kerajaan. Pada usia muda dan masih laku inilah Sheera terpaksa bekerja kuat untuk mencari duit.

Kalau tidak, dia mungkin tak sempat nak langsaikan bayaran rumah atau bayaran kereta sebelum tiba usia tua.

Masalah mengambil tawaran lain dalam satu-satu masa banyak terjadi sebab bayaran berlakon artis-artis kita “ciput”. Untuk pelakon tambahan yang terpaksa menunggu 12 jam di lokasi hanya dibayar RM50.

Sebab itulah pelakon-pelakon yang tengah laku pada hari ini akan ambil sebanyak mungkin tawaran berlakon yang mereka perlu. Kejayaan seseorang pelakon itu dinilai terhadap beberapa banyak tawaran yang mereka dapat. Oleh sebab itulah kita akan melihat dalam sehari di empat stesen televisyen yang berbeza akan muncul pelakon yang sama. Semuanya kerana mereka terpaksa mengejar duit untuk menampung hidup.

Niezam simpati dengan nasib pelakon-pelakon hari ini yang akhirnya terpaksa disaman ketika mencari rezeki untuk menyara kehidupan mereka.

Mereka seharusnya bijak untuk menguruskan jadual sekiranya terpaksa mengambil banyak peluang dalam sat-satu masa. Niezam juga tidak menyalahkan A.Aida. Sebagai seorang penerbit yang mengeluarkan belanja besar untuk produksinya, tentulah A.Aida mahu hasil yang terbaik.

Produser dan juga pelakon haruslah faham budaya kerja pelakon-pelakon kita. Dengan bayaran yang “ciput”, mereka terpaksa buat kerja berlipat kali ganda untuk menyara hidup.

NIEZAM: Kejar “deadline”

Artikel Lain