suria

Rakyat Harus Bersyukur Negara Aman Dan Harmoni, Titah Tuanku Muhriz

KUALA PILAH: Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir hari ini melahirkan rasa kagum dengan hasil pelaksanaan Dasar Jaringan Sosial yang berjaya mengurangkan jumlah peratusan miskin tegar di kalangan rakyat Negeri Sembilan.

Baginda bertitah jumlah rakyat miskin di Negeri Sembilan adalah antara yang terendah di Malaysia.

Baginda maklum bahawa kejayaan ini adalah hasil daripada kerjasama kerajaan negeri dan sumbangan badan amal serta pertubuhan bukan kerajaan, titah baginda pada majlis Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran Negeri Sembilan sempena Hari Keputeraan ke-63 di Balai Rong Seri, Istana Besar Seri Menanti, Jumaat.

Titah baginda, rakyat seharusnya bersyukur kerana bernaung di dalam negeri dan negara Malaysia aman serta harmorni.

Tuanku Muhriz bertitah agar pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-10 akan melonjakkan lagi prestasi serta merancakkan pembangunan negeri untuk kesejahteraan rakyat.

Baginda turut menyentuh mengenai kerjasama Kerajaan Persekutuan menjadikan sebahagian dari Negeri Sembilan dimasukkan ke dalam "Greater Kuala Lumpur".

"Beta yakin bahawa arus pembangunan di Lembah Klang dinikmati sama di Negeri Sembilan. Sehubungan itu beberapa projek berkapasiti tinggi akan dilaksanakan dalam Rancangan Malaysia Ke-10 nanti akan melonjakkan lagi pembangunan negeri dan seterusnya menjadi pilihan pelaburan para pelabur.

Dalam kerancakkan permodenan di negeri beradat ini, baginda berpesan supaya kerajaan negeri terus mengekalkan amalan dasar teknologi hijau untuk memastikan negeri ini tidak tercemar dan seimbang pembangunannya.

"Umum mengetahui bahawa Negeri Sembilan adalah antara negeri yang masih mengekalkan hutan simpan dan alam semula jadi. Aset ini adalah warisan yang berharga dan ia juga sebagai tarikan pelancong ke negeri ini untuk melihat keindahan flora dan fauna semula jadi," titah baginda.

Dalam istiadat penganugerahan darjah kebesaran hari ini, seramai 25 orang mendapat kurniaan darjah dari Tuanku Muhriz termasuk Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan Sultan Kelantan Sultan Muhammad V.

Terdahulu, istiadat dimulakan dengan kawalan kehormatan dari 71 Rejimen Semboyan Diraja, Kem Sungai Besi yang terdiri daripada tiga pegawai serta 103 anggota lain-lain pangkat.

Hadirin kemudian dipersembahkan dengan pertunjukkan kawat senyap daripada seramai 65 anggota Tentera Laut Diraja Malaysia bersenjatakan M-16 berwarna "chrome" diketuai oleh Left Komander Kamaruddin K. Asnar. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain