suria

Wabak Denggi Dikesan Di Rancangan Perumahan Awam Arau

KANGAR: Wabak denggi dikesan di kawasan Rancangan Perumahan Awam (RPA) Arau dengan lima orang disahkan sebagai penghidap demam itu dalam tempoh seminggu lalu.

Pengarah Kesihatan Perlis Dr Mahani Yusof berkata mangsa-mangsa terbabit yang semuanya dewasa terdiri daripada empat lelaki dan seorang wanita yang menghuni kawasan perumahan yang padat itu.

Bercakap kepada pemberita selepas menyertai penduduk bergotong-royong membersihkan kawasan RPA Arau, beliau berkata kesemua pesakit itu kini sedang menerima rawatan di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) Kangar.

"Walaupun jumlahnya nampak kecil tetapi ia sebenarnya angka yang mendebarkan apabila ia berlaku dalam satu kawasan," kata Dr Mahani, Sabtu.

Beliau berkata Jabatan Kesihatan sedang mengawasi keadaan itu dan menasihati para penduduk sentiasa mengutamakan kebersihan kawasan rumah di samping mengedarkan ubat jentik-jentik.

Dr Mahani berkata apa yang berlaku di RPA Arau adalah satu wabak kerana ia membabitkan lebih dua kes dalam tempoh dua minggu.

Beliau berkata sejak awal tahun ini, tujuh kes denggi dikesan di Perlis dengan lima kes dikesan di RPA Arau.

Selain gotong-royong, Dr Mahani berkata Jabatan Kesihatan akan mengadakan ceramah menangani wabak denggi di RPA itu malam ini.

Sementara itu, Menteri Besar Perlis Datuk Seri Dr Md Isa Sabu yang melancarkan gotong-royong anjuran Jawatankuasa Bertindak Wabak Denggi dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Perlis dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) RPA Arau itu berharap para penduduk akan berterusan menjaga kebersihan kawasan persekitaran masing-masing.

Katanya persekitaran yang bersih bukan sahaja akan mewujudkan keindahan malah akan menghindari kehadiran sebarang wabak yang boleh membawa maut.-BERNAMA

Artikel Lain