suria

Kastam Sabah Rampas Bunga Api, Mercun Bernilai Hampir RM10,000

KOTA KINABALU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia Sabah berjaya merampas bunga api dan mercun dengan nilai kasar RM9,939 melibatkan cukai bernilai RM6,446.40 di Kolombong dekat sini semalam.

Pengarah Kastam Negeri Mohd Kassim Ismail berkata Bahagian Penguatkuasaan Kastam menahan sebuah lori seberat tiga tan kira-kira pukul 8.50 malam, yang didapati sedang mengangkut 960 biji bunga api jenis 'display shell' dan 2,000 paket mercun.

Beliau berkata sebanyak 1,440 bunga api 'display shell' turut dirampas dari sebuah premis pengangkutan awam pada masa dan tempat yang sama.

Kastam menahan seorang lelaki tempatan berumur 35 tahun yang merupakan pemandu lori itu bagi membantu siasatan, katanya.

Dalam kejadian berasingan, Mohd Kassim berkata seorang lelaki tempatan berumur 30 tahun ditahan kerana menyimpan 297 paket bunga api dan mercun pelbagai jenama kira-kira pukul 12.30 tengah hari di Penampang dekat sini pada 12 Jan lepas.

Beliau berkata bunga api dan mercun merupakan barang larangan bersyarat dan boleh dikenakan denda tidak kurang 10 kali ganda daripada nilai barang dan tidak lebih 20 kali ganda atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali jika disabit kesalahan di bawah Seksyen 135 (1)(d) dan (e) Akta Kastam 1967. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain