suria

Sindiket Pemalsuan Cek:Polis Tahan Lima Orang Termasuk Wanita Warga China

SERDANG: Lima termasuk seorang wanita warga China ditahan kerana dipercayai menjadi dalang sindiket pemalsuan cek selain turut terlibat dalam satu kes pecah rumah di kawasan pangsapuri Taman Sungai Besi Indah, Serdang, awal pagi Rabu lepas.

Ketua Polis Selangor Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata ekoran kes pecah rumah itu, polis berjaya memperoleh maklumat mengenai suspek melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan perumahan tersebut.

Dalam tempoh tidak sampai 24 jam dari kejadian pecah rumah itu, polis berjaya memberkas seorang suspek lelaki berumur 30 tahun di sebuah stesen minyak berhampiran taman perumahan tersebut ketika dilihat berada dalam keadaan mencurigakan dalam sebuah kereta.

Susulan daripada penangkapan pertama itu, polis beberapa jam kemudian melakukan serbuan di sebuah kediaman di Taman Bukit Desa dan menahan tiga lelaki tempatan berumur antara 32 dan 33 tahun dan seorang wanita warga China berumur 22 tahun.

Bercakap kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang di sini Sabtu, beliau berkata polis percaya sindiket penipuan cek yang didalangi oleh suspek berjaya ditumpaskan apabila peralatan yang digunakan untuk memalsukan cek ditemui dalam rumah yang diserbu itu.

Tun Hisan berkata polis merampas 2,501 keping cek pelbagai bank bernilai RM2,923,464, sebuah komputer, empat buah mesin cetak, 73 helai kertas photostat cek pelbagai bank dan peralatan yang dipercayai digunakan untuk mengubah jumlah nilai cek serta enam keping cek yang telah diubah suai dalam serbuan itu.

Katanya modus operandi yang digunakan sindiket itu adalah dengan mencuri cek atau kad kredit yang dihantar melalui pos dari peti surat penerima dan kemudian meminda nama serta jumlah bayaran pada cek yang dicuri.

"Begitu juga dengan kad kredit atau kad debit yang dicuri dari peti surat, suspek akan menggunakan kad kredit atau debit itu untuk membeli barang," katanya.

Tun Hisan berkata turut dirampas dalam serbuan itu ialah tiga buah kereta iaitu Mercedez Benz, Mitsubishi Lancer VR4 dan Nissan Sentra di mana salah sebuah kenderaan itu dipercayai digunakan ketika kes pecah rumah tersebut.

Selain itu, beberapa dadah jenis Syabu seberat 13.95gm, Ketamin seberat 22.32gm dan 23 biji pil Eramin turut dirampas, katanya.

Hasil rampasan dianggarkan bernilai RM600,000 dan pemeriksaan terhadap suspek mendapati kesemuanya positif dadah jenis Methaphetamine.

Soal siasat juga mendapati wanita warga China itu merupakan pelajar di sebuah pusat bahasa di Jalan Bukit Bintang manakala suspek yang lain merupakan jurujual, penarik kereta, pekerja hotel dan seorang penganggur dan dua daripadanya mempunyai beberapa rekod jenayah lampau, katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana melakukan pecah rumah dan Seksyen 420 Kanun Keseksaan membabitkan penipuan.- BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain