suria

Polis Tahan Lima Lelaki Berhubung Kegiatan Peras Ugut

SERDANG: Lima lelaki, termasuk dua adik beradik yang dipercayai terlibat dalam jenayah peras ugut wang perlindungan perniagaan dan pengedaran dadah ditahan di sebuah rumah sewa di Taman Pinggiran Putra, Seri Kembangan di sini, Isnin.

Ketua Polis Daerah Serdang Supritendan Abdul Razak Elias berkata penahanan tersebut dibuat setelah seorang pemilik sebuah bengkel kereta membuat laporan polis dua minggu lepas kerana dipukul ekoran enggan memberi wang perlindungan.

"Mangsa berumur 25 tahun dipukul dengan kayu hoki. Hasil siasatan, kita berjaya menahan kesemua suspek berumur antara 19 hingga 29 tahun itu kira-kira pukul 9 malam," katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini, Selasa.

Hasil pemeriksaan ke atas rumah tersebut, polis menemui satu paket besar dan 40 paket kecil dadah jenis heroin yang dianggarkan seberat 550 gram bernilai kira-kira RM60,000.

Abdul Razak berkata siasatan awal mendapati empat suspek bekerja sebagai jurujual, pemandu lori, pekerja kedai perkakas dan kelindan manakala seorang adalah penganggur.

"Apa yang menarik, mereka semua tinggal bersama keluarga di blok yang sama dan menyewa sebuah lagi rumah sejak enam bulan lepas sebagai tempat untuk menjalankan operasi mereka.

"Kesemua mereka mungkin berjiran dan telah berkawan sejak kecil. Modus operandi mereka ialah pergi ke mana-mana premis dan meminta wang ugutan sebanyak RM800 atau (peniaga di premis) dipukul jika enggan bayar," katanya.

Menurutnya polis percaya kumpulan tersebut telah lama bergiat dalam jenayah itu dan berkemungkinan mereka juga merupakan ahli kongsi gelap yang memonopoli kawasan dadah di Serdang, Puchong dan Seri Kembangan.

Beliau berkata pemeriksaan mendapati dua daripada mereka positif dadah jenis Methapetamine dan seorang dari mereka mempunyai rekod lampau di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Katanya, kesemua mereka ditahan reman selama enam hari sehingga 26 Disember ini dan kes disiasat di bawah Seksyen Seksyen 148 Kanun Keseksaan, Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain