suria

Bajet 2011 DBKL Berjumlah RM2.007 Bilion, Cukai Kekal

KUALA LUMPUR: Bajet 2011 Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berjumlah RM2.007 bilion memberi penekanan kepada lima strategi utama, termasuk mengukuhkan penyampaian perkhidmatan dan meningkatkan kebersihan bandaraya itu.

Datuk Bandar Datuk Seri Ahmad Fuad Ismail berkata bajet bertemakan "Kuala Lumpur Bersih, Selesa dan Hijau" itu juga memberi tumpuan kepada memperkasa penyelenggaraan infrastruktur jalan, saliran dan kemudahan awam, mengutamakan penyelenggaraan dan pembangunan perumahan awam, serta mempergiat program penghijauan dan penyelenggaraan taman awam.

Beliau berkata 63 peratus atau RM1.273 bilion daripada bajet itu adalah kos mengurus manakala bakinya untuk perbelanjaan pembangunan.

"Berasaskan kepada agihan-agihan peruntukan ini, dijangkakan program di bawah peruntukan operasi dan projek-projek pembangunan dapat mencapai objektif DBKL, dan visi menjadi 'Bandaraya Bertaraf Dunia'," katanya pada sidang akhbar selepas ucapan Bajet DBKL 2011 di sini malam Jumaat.

Ahmad Fuad berkata DBKL juga akan mengekalkan kadar cukai taksiran kepada pemilik bangunan pada tahun depan.

"Oleh kerana kami mempunyai kedudukan pendapatan yang agak bagus pada tahun depan juga, kami tidak bercadang untuk menaikkan cukai taksiran bagi kedudukan penilaian tahun 2011.

"Penduduk akan terus menikmati kadar penilaian yang sama, tetapi kita akan belanjakan hasil yang kita dapati untuk mempertingkatkan perkara-perkara asas," katanya.

Mulai 1 Januari depan, DBKL akan mengurangkan kadar cukai taksiran bagi unit pangsapuri perkhidmatan dan pangsapuri di bangunan perdagangan sebanyak dua peratus, katanya.

Ahmad Fuad berkata bagi pemilik kategori hartanah tersebut, iaitu di dalam kawasan 93.24 kilometer persegi, akan menikmati pengurangan cukai taksiran daripada kadar semasa iaitu 12 peratus kepada 10 peratus setahun, manakala di luar kawasan 36 batu persegi, ia akan dikurangkan kepada 8 peratus.

Katanya, sebanyak 18,816 unit pangsapuri perkhidmatan dan pangsapuri di bangunan perdagangan telah dikenal pasti bagi tujuan pengurangan cukai taksiran itu, dan ia melibatkan pengurangan hasil DBKL sebanyak RM4.0 juta setahun. - BERNAMA

Artikel Sebelum

WikiLeaks: DAP Nafi Jadi Dalang

Artikel Berikut

ADUN Tenang Meninggal Dunia

Artikel Lain