suria

94 Pelajar Malaysia Menang Pingat Emas Dalam ICAS 2010

KUALA LUMPUR: Para pelajar Malaysia memenangi 94 pingat emas dalam Pertandingan dan Penilaian Antarabangsa bagi Sekolah-sekolah (ICAS) 2010, satu peningkatan ketara berbanding 61 pingat tahun lepas.

Kejayaan tahun ini termasuk seorang pelajar yang memenangi tiga pingat emas dan lima pelajar yang meraih dua pingat emas. Pemenang tiga pingat emas ialah pelajar Tahun Tiga SJK (C) Foon Yew (4) Johor Bharu, Teoh Xiang Yu yang memperoleh emas dalam Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains.

Pelajar yang memenangi dua pingat emas pula ialah Khalesa Mohammad Sharif, 9, dari SK Convent (1) Bukit Nanas Kuala Lumpur; Michelle Ong Shu Tian, 10, dari SK Bukit Damansara; Claryss Kuan, 10, dari Literacy World English Language Centre Petaling Jaya; Kalpana Mahendran, 16, dari SMK (P) Sri Aman Petaling Jaya; dan Muhammad Putera Farid Iskandar, 18, dari SM Sains Seremban.

Dianjurkan oleh Educational Assessment Australia (EAA), University of New South Wales, dan Educational Assessment and Testing Services (M) Sdn Bhd (EATS), ICAS adalah program penilaian bertaraf dunia yang disertai oleh pelajar dari Australia, New Zealand, Singapura, China, Hong Kong, India dan Afrika Selatan.

Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Dr Wee Ka Siong, yang menyampaikan pingat kepada pemenang di sini hari ini, berkata kejayaan itu amat mengagumkan kerana pelajar yang dinilai termasuk mereka yang berasal dari luar bandar, termasuk dari Tawau, Sabah, dan juga sekolah kluster.

"Pencapaian ini menunjukkan sistem pendidikan kita sebenarnya berjaya dan mendapat pengiktirafan pada peringkat global," katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian pingat itu, Sabtu.-BERNAMA

Artikel Lain