suria

Penjenayah Mati Ditembak Di Senawang

SEREMBAN: Berlaku aksi saing menyaing dengan motosikal antara seorang anggota polis beruniform dengan seorang suspek.

Semasa saing menyaing itu, turut berlaku tendang menendang antara kedua-dua pihak, yang masing-masing mahu menjatuhkan motosikal pihak yang satu lagi.

Drama tersebut berlaku sejauh empat kilometer sehingga suspek kemudiannya mencampakkan motosikalnya dan melarikan diri yang turut dikejar dengan berlari oleh anggota polis berkenaan.

Sambil berlari suspek sempat membuka topi keledarnya lalu melibas ke arah anggota polis itu menyebabkan anggota polis cedera di tangan kiri.

Suspek terus berlari, anggota polis tetap mengejar dan suspek masih melibas topi keledarnya.

"Waktu itulah anggota polis berkenaan melepaskan dua das tembakan amaran ke udara dan melepaskan satu das tembakan lagi ke arah suspek kerana suspek tetap agresif.

"Tembakan itu terkena peha kiri suspek yang masih cuba melarikan diri tetapi dia rebah dan 15 minit kemudian suspek didapati telah meninggal dunia," kata Ketua Polis Daerah Seremban, ACP Saiful Azly Kamaruddin.

Beliau menceritakan detik-detik sebelum suspek yang dikenali sebagai Rizam Zakaria, 32, dari Taman Seremban Jaya di sini mati ditembak di kawasan paya berhampiran sebuah kilang di Kawasan Perindustrian Senawang kira-kira 11 pagi tadi.

Sebelum kejadian itu, dua anggota polis yang masing-masing menunggang motosikal yang sedang membuat rondaan di kawasan Pekan Senawang melihat suspek yang sedang menunggang motosikal menghampiri motosikal yang ditunggang oleh seorang wanita dan cuba meragut wanita berkenaan.

Namun apabila menyedari anggota polis berada di belakangnya, suspek terus memecut motosikalnya untuk melarikan diri.

Dari situlah bermula drama saing menyaing dan tendang menendang motosikal antara salah seorang anggota polis dengan lelaki berkenaan.

Saiful Azly berkata, polis menjumpai sebilah pisau dan peralatan mengambil dadah termasuk jarum suntikan dalam beg sandang suspek.

"Semakan rekod polis juga mendapati suspek mempunyai enam rekod jenayah iaitu dadah dan curi.

"Manakala motosikal Yamaha RXZ yang digunakan oleh suspek adalah motosikal curi yang dilaporkan hilang di kawasan Pantai, Kuala Lumpur," katanya.

Beliau berkata, mayat suspek dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar dan polis masih menunggu laporan bedah siasat berhubung punca sebenar kematian suspek. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain