suria

Anwar Fail Permohonan Pinda Notis Rayuan Berhubung Pertuduhan Qazaf

KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Isnin memfailkan permohonan untuk meminda notis rayuannya berhubung pertuduhan qazaf terhadap bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan, di Mahkamah Syariah di sini.

Anwar yang hadir bersama isterinya, Datin Seri Wan Azizah Wan Mohammad memfailkan notis itu di Pejabat Pendaftar Mahkamah Rayuan Syariah melalui peguamnya yang diketuai Kamar Ainiah Kamaruzaman.

Beliau yang turut diwakili peguam Dorina Abdullah, memohon untuk memindanya dengan memasukkan perkataan "keseluruhan" yang dikatakan telah tercicir dalam notis rayuan yang dibuat pada 23 April lalu.

Ketika ditemui pemberita, Kamar Ainiah memberitahu pihaknya memfailkannya selepas mendapati perkataan "keseluruhan" itu tiada, selain memastikan proses berjalan lancar pada hari hujahan rayuan itu yang dijangkakan pada Jan tahun depan.

"Pihak kami memfailkan pindaan itu berhubung satu perenggan yang menyatakan "tidak berpuas hati terhadap keputusan mahkamah," katanya

"Dan pada hari ini pihak kami memohon untuk meminda dengan menambah perkataan "keseluruhan" yang menjadikan ;"....tidak berpuas hati terhadap keseluruhan keputusan mahkamah...", katanya.

Anwar, 63, sebagai perayu menamakan tiga responden dalam permohonan itu iaitu Ketua Pendakwa Syarie Wilayah Persekutuan Shamsuddin Hussain, Pengarah Jabatan Agama Islam (Jawi) Datuk Che Mat Che Ali dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Jamil Khir Baharom.

Pada 23 April lepas, Anwar, menfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Syariah yang menolak permohonannya supaya memerintahkan pendakwaan yang diwakili Shamsuddin, meneruskan pertuduhan qazaf terhadap Mohd Saiful, 25.

Pertuduhan qazaf ialah membuat tuduhan terhadap seseorang yang melakukan zina tanpa membawa empat saksi lelaki, dan jika sabit kesalahan boleh dihukum maksimum penjara tiga tahun atau denda RM5,000 atau kedua-duanya sekali.

Pada 3 Nov lalu, Anwar telah memfailkan 14 alasan rayuan dengan menyatakan antaranya Hakim Mahkamah Tinggi telah melakukan kekhilafan dari segi undang-undang dan fakta apabila membuat keputusan mengenai merit dan isu substantif pada peringkat bantahan awal.

Beliau juga mendakwa, keputusan oleh mahkamah itu iaitu dengan mengenepikan permohonan tanpa didengar dan dibicarakan telah menyebabkan berlaku ketidakadilan terhadap dirinya.

Dalam alasannya juga menyatakan hakim telah terkhilaf dari segi undang-undang dan fakta apabila meletakkan kuasa Ketua Pendakwa Syarie adalah besar dan luas yang menyamai kuasa Peguam Negara sedangkan beliau hanyalah seorang pegawai di bawah Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain