suria

Tiga Pesawat TUDM Ke Solo Pada Ahad Bawa Pulang Rakyat Malaysia

KUALA LUMPUR: Tiga buah pesawat C-130 Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dijangka berlepas pagi Ahad bagi membawa keluar 664 rakyat Malaysia yang terkandas di Yogyakarta, Solo berikutan kejadian letusan Gunung Merapi.

Pegawai Perhubungan Awam TUDM Mejar Kamarulzaman Ali berkata pesawat pertama dijangka berlepas pada 10 pagi dari Pangkalan TUDM Subang dan mendarat di Lapangan Terbang Solo selepas mendapat kebenaran pihak berkuasa negara itu.

"Hasil perbincangan Majlis Keselamatan Negara, Kementerian Pertahanan, Wisma Putra dan Kementerian Pengajian Tinggi dan pihak berkuasa negara itu, kita telah mendapat persetujuan bagi membawa keluar kesemua rakyat kita dalam misi dua hari itu.

"Setiap hari, kita akan adakan tiga penerbangan dengan setiap penerbangan pergi dan balik mengambil masa selama enam jam," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, malam ini.

Menurutnya kesemua 664 rakyat Malaysia itu terdiri daripada penuntut universiti dan kakitangan yang berdaftar dengan Kedutaan Malaysia dan penerbangan pulang pertama dijangka tiba petang Ahad.

Masalah pendaratan kerana cuaca dan kabus tebal tidak menentu di Lapangan Terbang Solo menyebabkan kesukaran membawa keluar orang awam dari kawasan berdekatan Gunung Merapi iaitu gunung berapi paling aktif di dunia itu. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain