suria

Bekas Pembaca Berita Fail Fasakh

KUALA LUMPUR: Selepas 24 tahun hidup bersama, bekas pembaca berita, Ter Ai Chin atau Khairul Nisa Abdullah memfailkan permohonan untuk bercerai secara fasakh daripada suaminya.

Permohonan itu difailkan menerusi peguam syarie Datuk Mohd Zaidi Mohd Zain di Pejabat Pendaftar Mahkamah Syariah di sini, pada Khamis.

Berdasarkan penyataan tuntutan, Khairul Nisa, 62, menyatakan dia telah bergelar isteri kedua kepada Ahmad Abdullah, 62, selepas berkahwin di Majlis Hal Ehwal Agama Islam Narathiwat, Thailand pada 10 Jun 1986.

Pasangan tersebut kemudiannya bernikah semula dengan berwalikan hakim pada 28 Jun 1989 mengikut Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984, dan dikurniakan dua orang anak.

Seterusnya, Khairul Nisa mendakwa, rumah tangga mereka tidak mesra sejak awal perkahwinan disebabkan sering berlaku perbalahan yang semakin ketara selepas Ahmad meninggalkannya pada 2000 hingga sekarang.

Dakwanya lagi, suaminya juga lazim menyakiti secara fizikal tanpa sebab yang munasabah, termasuk kejadian yang direkodkan berlaku pada 5 Mei 1995.

Khairul Nisa mendakwa, pada tarikh itu, Ahmad telah memukulnya sehingga menyebabkan kecederaan teruk selepas dia membangkitkan rasa tidak puas hati dengan layanan yang diberikan berikutan tidak berlaku adil dalam pembahagian giliran.

Seterusnya, Khairul Nisa mendakwa dalam kejadian yang berlaku pada 31 Mei 2000 telah menyebabkan dia dimasukkan ke hospital, tetapi Ahmad tidak pernah melawat atau menunjukkan tanda kekesalan.

Sehubungan itu, Khairul Nisa mendakwa telah mengalami penderitaan sehingga memberikan kesan negatif kepada fikiran dan maruahnya.

Dia juga mendakwa suaminya yang merupakan seorang jutawan terkenal tidak bertanggungjawab dalam pemberian nafkah danh cuai sejak meninggalkan dirinya.

Dakwanya lagi, dia telah banyak memberi peluang kepada suaminya untuk membetulkan kesilapan, tetapi tiada perubahan ketara dalam memperbaiki hubungan mereka.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain