suria

Perkhidmatan Kurier Pos Malaysia Mudahkan Jemaah

MADINAH: Perkhidmatan kurier oleh Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia) semasa musim haji menyenangkan jemaah dari Malaysia antaranya untuk mengirim air zam-zam ke tanah air.

Menurut pengurus projek Pos Malaysia untuk Mekah/Madinah, Zaini Yahman, perkhidmatan itu disediakan dengan kerjasama Tabung Haji Travel Services Sdn Bhd (THTSB).

Katanya perkhidmatan itu termasuk pengiriman bagasi pada kadar yang diselaraskan dengan THTSB dan syarikat perkhidmatan kurier lain dan merupakan sebahagian tanggungjawab sosial Pos Malaysia.

"Bagi penghantaran air zam-zam, Pos Malaysia mengenakan caj SR120 (RM100) bagi satu botol 10 liter. Jemaah cuma perlu membayar caj perkhidmatan. Air zam-zam, botol dan pembungkusan semuanya diuruskan oleh Pos Malaysia.

"Penghantaran bagi barang lain dikenakan caj sebanyak SR15 satu kilogram. Pos Malaysia juga menyediakan kotak mengisi barang kiriman yang dijual pada harga SR3 setiap satu," kata Zaini kepada pasukan media Tabung Haji Malaysia yang membuat liputan musim haji 1431 Hijrah.

Kos penghantaran ke Sabah dan Sarawak bagaimanapun tinggi sedikit. Bagi satu botol 10 liter air zam-zam cajnya ialah SR140 dan barang-barang lain SR20 sekilogram.

"Saya ingin menasihatkan jemaah supaya mematuhi peraturan dan undang-undang penghantaran barang yang dilarang seperti pedang atau yang membahayakan serta barang kemas. Bagaimanapun kami akan memberi nasihat kepada jemaah," kata Zaini.

Katanya buat pertama kali sejak perkhidmatan itu disediakan pada 1998, jemaah boleh menginsuranskan kiriman mereka dengan bayaran tambahan sebanyak SR2 bagi setiap kiriman bernilai SR1,000 dan tidak lebih SR5,000.

"Pos Malaysia akan membayar ganti rugi bagi kehilangan atau kerosakan. Kiriman dijamin sampai ke alamat penerima dalam tempoh dua minggu dari tarikh penghantaran," kata Zaini.

Pos Malaysia menugaskan 30 kakitangannya termasuk seorang pengurus untuk mengendalikan urusan di Madinah dan seorang di Mekah.

Pada masa ini Pos Malaysia membuka satu kaunter di tingkat dua Hotel Al Haram, tempat penginapan jemaah Malaysia di Madinah yang mula beroperasi Rabu.

Kaunter di Mekah akan dibuka apabila jemaah mula memasuki Kota Mekah pada Ahad ini. "Kami menjangka mengendalikan 200 tan barang yang akan dihantar oleh jemaah ke Malaysia dengan anggaran perolehan RM3 juta. Tahun lepas Pos Malaysia mengendalikan 163 tan kiriman termasuk air zam-zam oleh jemaah Malaysia," kata Zaini. Pelanggan pertama Pos Malaysia, Ahmad Apandi Abdul Aziz, 63, ketika ditemui selepas membuat tempahan kiriman, Rabu, berkata beliau berpuas hati dengan perkhidmatan dan layanan kakitangan syarikat itu.

"Alhamdulillah ada perkhidmatan seperti ini. Mudahlah saya nak hantar balik air zam-zam kepada isteri saya di Beserah, Kuantan," kata Ahmad Apandi yang tiba di Madinah dua hari lepas semasa ditemui di kaunter Pos Malaysia pagi ini. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain