suria

UPP Kelantan Rampas Barangan Seludup RM1.5 Juta

RANTAU PANJANG: Unit Pencegahan Penyeludupan (UPP) Kelantan berjaya merampas barang seludup bernilai RM1.5 juta dalam operasi yang dilakukan bagi tempoh Januari hingga Ogos lepas.

Komander UPP Kelantan Mazlan Che Hamid berkata ianya membabitkan 531 kes tangkapan dan serbuan.

"Antara barangan yang paling banyak dirampas adalah mercun dan bunga api bernilai RM520,000, diikuti rampasan beras bernilai RM300,000 manakala selebihnya melibatkan penyeludupan pakaian berjenama dan benih kerang," katanya kepada pemberita, di sini, Jumaat.

Beliau juga berkata sepanjang bulan Ramadan ini, aktiviti penyeludupan di lebih 100 pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok melibatkan kawasan Rantau Panjang-Pengkalan Kubor dikesan berlaku ketika umat Islam sedang berbuka puasa.

Bagaimanapun katanya, UPP telah menempatkan 137 anggota untuk mengawasi aktiviti penyeludupan di pengkalan haram berkenaan termasuk mengawal di pintu-pintu masuk negara.

"Bagi kawalan di pintu masuk negara di negeri ini kita mempunyai tiga tempat sekatan jalan raya diadakan iaitu di Bukit Bunga, Rantau Panjang dan Pengkalan Kubor," katanya.

Mazlan berkata pihak UPP juga akan bertugas seperti biasa ketika Hari Raya Aidilfitri nanti bagi membendung kegiatan tersebut. –BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain