suria

Salah Faham Kahwin Bawah Umur Di Melaka: Kebenaran Hanya Ikut Kes

PUTRAJAYA: Kebenaran berkahwin untuk pelajar di bawah umur bukan untuk semua tetapi ditentukan mengikut kesesuaian kes.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, mahkamah syariah berhak meneliti setiap permohonan berkahwin awal yang diterimanya dan memutuskan sama ada keizinan layak diberikan atau tidak.

"Dalam Enakmen Majlis Agama Islam dan peruntukan agama Islam hanya lelaki 18 tahun dan perempuan 16 tahun ke atas dibenarkan kahwin tetapi ada kekecualian yang dibenarkan oleh mahkamah syariah untuk mereka yang di bawah umur.

"Tindakan Majlis Agama Islam Melaka itu ada peruntukan undang-undang jadi undang-undang akan tapis mengikut kes," katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan Majlis Agama Islam Melaka dan Jabatan Agama Islam Melaka semalam yang bersetuju dengan kerajaan Melaka untuk memberi kelonggaran bernikah bagi pelajar lelaki di bawah umur 18 tahun dan perempuan di bawah 16 tahun, bagi mengatasi masalah hamil luar nikah dan gejala pembuangan bayi.

Bagaimanapun, Jamil Khir berkata, tindakan itu tidak akan dapat mengatasi masalah tersebut secara keseluruhan tetapi hanya membantu bagi kes-kes tertentu sahaja.

Beliau sebelum itu menyaksikan majlis menandatangani perjanjian kerjasama (MoA) antara Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Mengenai MoA tersebut, Jamil Khir berkata ia bagi membolehkan Jakim mengurus dan mengagih-agihkan biasiswa 1MDB untuk pelajar Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN) dan Sekolah Menengah Agama Rakyat (SMAR) di seluruh negara.

Buat permulaan, dana sebanyak RM5.1 juta diperuntukkan bagi 17 pelajar melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan di Mesir, yang telahpun disampaikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Mei lepas.

Jamil Khir berkata pihaknya juga akan melihat kemungkinan menambah bilangan pelajar yang menerima biasiswa itu pada masa hadapan, serta memperluaskan bidang pengajian untuk ditaja termasuk bidang perbankan Islam.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain