suria

AirAsia Tutup Sistem Tempahan Selama Tiga Hari Mulai Jumaat Ini

KUALA LUMPUR: Syarikat penerbangan tambang murah, AirAsia Bhd, akan menutup sementara sistem penempahan semasanya selama tiga hari mulai Jumaat bagi digantikan dengan sistem baharu yang boleh menampung pertumbuhan semasa syarikat itu.

Sebagai sebahagian dari proses pelaksanaan sistem itu, perkhidmatan penempatan AirAsia, akan hentikan sementara dari jam 1.00 petang waktu Malaysia (GMT+8) pada Jumaat (9 Julai) hingga jam 6.00 petang waktu Malaysia pada 11 Julai (Ahad).

Ketua Serantau Komersil AirAsia Kathleen Tan berkata para pelanggan sangat digalakkan membuat tempahan beberapa hari sebelum 9 Julai (1.00 petang) untuk mengelakkan kekecewaan.

Katanya sistem baharu itu akan diwujudkan mulai jam 6.00 petang, 11 Julai.

"Sistem semasa, yang kini berusia 20 tahun, tidak lagi dapat menampung pertumbuhan semasa kami. Sebelum ini, sistem itu hanya dapat menampung sehingga setengah juta sehari."

"Dengan pemasangan sistem baharu itu, ia berupaya menempah kepada hampir sejuta penerbangan sehari," katanya kepada taklimat media di sini hari ini.

AirAsia akan membelanjakan kira-kira RM10 juta bagi tahun pertama pengoperasian sistem baharu itu.

Tan berkata syarikat penerbangan itu telah melakukan banyak pelaburan di segi teknologi untuk menyokong pengembangannya di pasaran, kebanyakannya di Asia, Australia dan Eropah.

Bagi tahun ini, syarikat itu memperuntukkan kira-kira RM80 juta hingga RM100 juta kepada jabatan teknologi maklumatnya (IT).

Dengan pelaksanaan sistem baharu itu, para pelanggan akan mendapat manfaat dari jualan berinovasi dan kempen pemasaran, tawaran produk dan perkhidmatan yang direka khusus bagi keutamaan pelanggan dan penyediaan kemudahan layan diri yang lebih baik, yang termasuk akses langsung terhadap akaun kredit masing-masing.

Semasa penutupan itu, para pelanggan tidak akan dapat melakukan tempahan tempat duduk secara online, di pejabat jualan AirAsia dan kaunter atau melalui pusat panggilan mereka.

Pendaftaran masuk sendiri, melalui web, telefon mudah alih dan di kiosk serta kemudahan penempahan urus sendiri juga tidak dapat dilakukan selama tiga hari.

Tan berkata syarikat penerbangan itu akan hanya menerima tunai bagi pembelian sebarang produk tambahan di kaunter daftar masuk, yang termasuk bayaran lebihan bagasi semasa tempoh itu.

Semasa tempoh itu, para pelanggan juga dinasihati untuk mendaftar masuk sekurang-kurangnya tiga jam sebelum berlepas bagi mengelakkan terlepas penerbangan kerana pendaftaran masuk akan dilakukan secara manual di kaunter daftar masuk di lapangan terbang.

Bagaimana pun, penempahan hotel dan pengembaraan serta aktiviti pada airasiago.com akan terus diadakan sepanjang tempoh pelaksanaan usaha menaik taraf sistem itu.

Tan berkata dua hingga enam minggu selepas usaha menaik taraf itu dilakukan, syarikat penerbangan itu akan melancarkan beberapa destinasi yang termasuk ke Seoul, Korea Selatan dan Haneda di Jepun. -BERNAMA

Artikel Lain