suria

Lebih Tujuh Orang Kenamaan Dikenal Pasti Terbabit Judi Bola Sepak

KUALA LUMPUR: Polis mengenal pasti lebih tujuh orang kenamaan dipercayai terlibat dengan sindiket pertaruhan judi bola sepak Piala Dunia dalam talian yang dipercayai telah melarikan diri ke luar negara.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Bakri Mohd Zinin berkata, polis masih menjalankan siasatan bagi menjejaki mereka yang terlibat dengan kerjasama Interpol.

"Kita masih menjalankan siasatan dan risikan dengan pihak Interpol bagi mengesan mereka yang terlibat dengan sindiket perjudian ini di luar negara," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata, sejak dua minggu Ops Soga dijalankan dari 11 Jun hingga semalam, sebanyak 156 serbuan dilakukan di seluruh negara dengan 120 orang ditahan melibatkan nilai pertaruhan berjumlah RM300.7 juta.

Katanya, daripada jumlah itu, Bukit Aman sendiri melalui operasi yang dijalankan oleh Bahagian Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) telah menahan 30 orang melibatkan nilai pertaruhan sebanyak RM200 juta.

"Seramai 100 lelaki, 20 wanita dan sembilan warga asing yang berumur antara 15 dan 73 tahun ditahan dalam operasi yang dijalankan oleh kontinjen seperti Melaka, Johor, Pulau Pinang, Selangor dan Bukit Aman sendiri," kata Mohd Bakri.

Beliau berkata, ada di antara mereka yang ditahan merupakan pelajar, namun beliau enggan mengulas lanjut jumlah mereka yang ditahan itu.

Katanya, selain itu terdapat tiga sindiket perjudian di negara ini yang menjalankan kegiatan tersebut di luar negara selepas kegiatan mereka di sini dikesan polis.

Beliau percaya lebih 200,000 orang rakyat negara ini yang terlibat dengan pertaruhan judi bola sepak itu sejak Piala Dunia bermula pada 11 Jun.

"Kita juga ada bukti bahawa sindiket ah long turut terlibat dalam sindiket pertaruhan judi bola sepak ini dalam memberi pinjaman kepada orang yang ingin berjudi.

"Nilai pertaruhan bagi setiap individu dipercayai antara RM50 dan RM2,000 bagi setiap perlawanan," katanya.

Mohd Bakri berkata, nilai pertaruhan bagi setiap satu sindiket boleh mencecah RM30,000 hingga RM40,000 bagi satu perlawanan dan boleh mencapai sehingga RM100,000 bagi tiga perlawanan sehari.

Katanya, Ops Soga akan diteruskan sehingga tamat Piala Dunia, 12 Julai, namun polis akan meneruskan operasi pemantauan terhadap sindiket perjudian bola sepak yang melibatkan liga-liga bola sepak yang lain.

"Kita akan terus memantau kegiatan perjudian bola sepak ini dan polis tidak akan berganjak daripada mengambil tindakan undang-undang terhadap sindiket yang terlibat," tegasnya. - BERNAMA

Artikel Lain