suria

Rais: Kementerian Sedia Kaji Pengakuan Putri Anis Sebagai Keturunan Puteri Saadong

PASIR MAS: Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan bersedia mengkaji kebenaran pengakuan seorang wanita bahawa beliau adalah pewaris keturunan Puteri Saadong dengan syarat perlu mengemukakan bukti-bukti berkaitan.

Menteri Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata syarat lain ialah daripada segi penerimaan masyarakat kerana sekiranya masyarakat tidak dapat menerima pengakuan wanita itu yang beliau adalah pewaris Puteri Saadong, pengiktirafan tidak boleh diberikan.

"Kalau masyarakat telah menerima perkara ini, kita bersedia untuk membuat kajian kebenarannya dan perlulah mengemukakan bukti-bukti berkaitan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Merakyatkan Seni Pesta Dikir Barat di sini, malam tadi.

Baru-baru ini Raja Tengku Putri Anis Raja Sazali, 24, yang muncul dengan pengakuan sebagai pewaris keturunan Puteri Saadong, yang terkenal dalam mitos sejarah Kesultanan Kelantan, telah dimasyhurkan sebagai Sri Ratu Saadong Ketujuh.

Pada majlis yang diadakan di sebuah resort di sini, Raja Tengku Putri Anis telah dimasyhurkan sebagai Sri Ratu Saadong Ketujuh oleh wakil raja nusantara, Kanjen Pangeran Norman Hadi Negoro dan Kanjen Mas'ud Toyyib dari Keraton Surakarta Hadiningrat, Indonesia.

Rais berkata, sebelum ini juga ada individu yang mengaku dirinya adalah keturunan Sultan Melaka namun oleh kerana masyarakat Melaka meragui dan menolak dakwaan itu, kementeriannya tidak dapat berbuat apa-apa untuk mengkajinya.

Beliau bagaimanapun meminta masyarakat melihat pengakuan wanita itu daripada sudut sejarah yang boleh menimbulkan minat masyarakat untuk mengkaji sejarah silam perkara itu.

Sementara itu, Rais berkata kementeriannya bersedia memperkenalkan seni dikir barat ke peringkat nusantara dan global.

"Buat masa ini kita mahu membawa dikir barat ini ke seluruh nusantara dan secara perlahan kita angkat seni budaya ini ke serata dunia," katanya.

Beliau berkata untuk merakyatkan seni budaya itu, dikir barat harus dipersembahkan dengan menggunakan bahasa kebangsaan selain loghat Kelantan agar rakyat seluruh negara dapat merasai ia adalah budaya bersama untuk merapatkan hubungan sesama kaum.

Pada pertandingan dikir barat pada pesta itu, Kumpulan Dikir Barat Tok Sangkut muncul juara dan menerima hadiah wang tunai RM2,000 dan piala iringan.

Lebih 7,000 masyarakat berbilang kaum menghadiri pesta tersebut.- BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain