suria

621 Pegawai Kerajaan Kena Tindakan Tatatertib Suku Pertama 2010

KUALA LUMPUR: Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) telah mengambil tindakan tatatertib ke atas 621 pegawai awam bagi tempoh dari Januari hingga Mac tahun ini berbanding 353 dalam tempoh yang sama tahun lepas.

Kumpulan sokongan adalah yang paling ramai dikenakan tindakan tatatertib iaitu 546 orang (87.9 peratus) diikuti Kumpulan Pengurusan dan Profesional (73) dan Kumpulan Pengurusan Tertinggi (dua).

Menurut kenyataan JPA di sini hari ini, daripada jumlah itu, pegawai Badan Berkanun Persekutuan (BBP) merekodkan bilangan paling tinggi iaitu seramai 245 berbanding 69 orang tahun lepas.

JPA juga mengenalpasti kes-kes berkaitan kesalahan Pelanggaran Tatakelakuan dan Tidak Hadir Bertugas di kalangan pegawai awam merupakan kesalahan tertinggi dan paling ketara iaitu masing-masing merekodkan 399 kes (61 peratus) dan 141 kes (21.6 peratus).

Sebanyak 574 (87.8 peratus) bilangan kesalahan dilakukan oleh mereka dari Kumpulan Sokongan ke atas kesalahan Pelanggaran Tatakelakuan dan Tidak Hadir Bertugas.

Menurut JPA, hukuman yang paling kerap dijatuhkan oleh Pihak Berkuasa Tatatertib ialah memberi amaran. Seramai 256 pegawai telah diberikan amaran manakala 133 pegawai dikenakan denda.

Selain itu, seramai 103 pegawai dibuang kerja manakala 72 pegawai pula dilucutkan hak emolumen dan 46 pegawai ditangguh pergerakan gaji.

Menurut JPA lagi, kesedaran kerajaan terhadap kes salah laku, pelanggaran peraturan serta kesannya terhadap perkhidmatan awam membolehkan lebih banyak kes tatatertib diselesaikan.

"Ini juga menunjukkan kesungguhan kerajaan dalam menangani salah laku pegawai bagi memastikan tingkah laku anggota perkhidmatan awam yang lebih berintegriti," tambah kenyataan itu.

Menurut JPA, pendedahan secara terperinci adalah selari dengan prinsip dan amalan ketelusan untuk meningkatkan lagi sistem penyampaian perkhidmatan dalam perkhidmatan awam.

Artikel Lain