suria
Nexus- chevron_right featured_seasonal_and_gifts0
info
Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda dan tebus hadiah di Nexus.
close hadiah

Ganjaran Anda Sedang Menanti!

Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda. Klik pada mata ganjaran untuk menebus hadiah di Nexus sebelum tamat tempoh.

Daftar Masuk Sekarang

Selangor Haramkan Judi Piala Dunia Beroperasi

SHAH ALAM: Kerajaan Negeri Selangor tidak akan membenarkan mana-mana premis beroperasi di negeri ini untuk menjalankan aktiviti perjudian atau pertaruhan bola sepak.

Walaupun lesen perjudian bola sepak telah dikeluarkan oleh Kerajaan Pusat Barisan Nasional, kerajaan negeri melalui pihak berkuasa tempatan (PBT) mempunyai kuasa menghalang aktiviti perjudian bola sepak beroperasi di negeri ini.

Ini kerana syarikat yang berkenaan perlu membuat permohonan lesen perniagaan terlebih dahulu dari PBT untuk menjalankan aktiviti perjudian bola sepak.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam satu kenyataan hari ini berkata, semua PBT telah diberi arahan supaya tidak mengeluarkan lesen perniagaan kepada mana-mana pihak bagi aktiviti perjudian bola sepak.

“Kerajaan Negeri melalui pihak berkuasa tempatan tidak akan teragak-agak untuk menutup mana-mana premis yang menjalan perjudian bola sepak secara haram,” kata Abdul Khalid.

Sambil membantah keputusan Kerajaan Pusat mengeluarkan lesen perjudian sempena kejohanan bola sepak Piala Dunia yang akan bermula 11 Jun ini, Abdul Khalid berpendapat keputusan itu adalah langkah yang silap dan hanya menghalalkan segala penyakit sosial yang berterusan di negara ini.

Beliau menambah, tiada jaminan bahawa pemberian lesen perjudian itu akan menghapuskan perjudian secara haram.

Sebaliknya, tindakan Kerajaan Pusat itu akan memburukkan lagi penyakit sosial apabila semakin ramai orang yang mahu cepat kaya terutama golongan miskin yang sanggup menggunakan wang gaji atau simpanan untuk membuat pertaruhan.

Abdul Khalid berkata, keputusan kerajaan negeri dalam hal ini diharap dapat mengelak orang ramai, sama ada Islam atau bukan Islam daripada terjerumus dengan perbuatan merugikan dan melalaikan itu.

Katanya, Pakatan Rakyat sepakat bahawa aktiviti perjudian adalah haram dan boleh meninggalkan kesan negatif kepada kehidupan sosial masyarakat terutama golongan berpendapatan rendah.

Artikel Lain