suria

Gula Malaysia Lebih Mudah Diperoleh Di Selatan Thailand

PATTANI: Ketika beberapa kawasan di Kedah, Perak dan Pulau Pinang berhadapan isu kehabisan stok gula sejak beberapa minggu lalu, gula keluaran Malaysia amat mudah diperoleh di selatan Thailand, walaupun di kawasan pedalaman.

Tinjauan mendapati, gula bersubsidi Malaysia yang dikeluarkan sebuah kilang di utara Semenanjung dan terdapat tulisan "Subsidi Kerajaan Malaysia" mudah diperoleh di kedai runcit di wilayah Pattani dan Yalla.

Kumpulan wartawan yang melawat wilayah tersebut anjuran Pertubuhan Kebangsaan Wartawan Dan Penulis Melayu Malaysia (PKWPM) cawangan Kedah sejak Khamis hingga hari ini, terkejut kerana gula Malaysia mudah dibeli di kedai runcit di sini pada harga RM2.50 sekilogram.

Beberapa penduduk yang ditemui berkata gula Malaysia yang mempunyai tanda subsidi itu memang mudah dibeli, terutama di pasar malam wilayah berkenaan.

Di sebuah kampung di pinggir bandar Pattani, seorang peniaga kedai runcit Mehya Ismail, 73, berkata beliau mampu memperolehi bahan itu dalam kuantiti yang banyak jika mahu kerana pembekalnya tidak menghadkan jumlah.

"Kerana saya berniaga kedai runcit, saya membelinya dalam kadar 20 hingga 50 kilogram pada harga RM2.30 sekilo dan menjualnya semula pada harga RM2.50 sekilo kepada pembeli," katanya.

Sementara itu, beberapa peniaga di bandar yang menjual barangan keperluan harian itu turut mengakui bahawa mereka tidak menghadapi kesukaran mendapatkan bekalan gula.

"Masalah bekalan gula dari Malaysia tak jadi masalah pada kami di sini, tetapi kami hairan bila diberitahu di Malaysia, sukar mendapat gula," kata Wan Haya Dolah, 56.

Seorang lagi peniaga kedai runcit, Husain Mamat, 54, pula mengakui tidak menyedari kebanyakan negeri di utara Malaysia sukar mendapat bekalan gula kerana beliau memperolehnya dengan mudah.

Sementara itu, ada penduduk tempatan mendakwa bekalan gula yang telah disubsidi oleh kerajaan Malaysia, telah diseludup melalui kawasan sempadan Kelantan-Thailand ke wilayah itu. - BERNAMA

Artikel Lain