suria

Polis Boleh Tembak Hingga Mati Jika Nyawa Terancam

PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) boleh menembak sehingga mati atau menggunakan kekerasan sekiranya nyawa anggota berkenaan atau orang awam terancam dalam usaha menangkap penjenayah demi memastikan keamanan negara terjamin.

Bagaimanapun Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan menegaskan, setiap anggota itu perlu mematuhi Perintah Tetap Ketua Polis Negara (IGSO), undang-undang serta prosedur berkaitan sebelum mengambil tindakan terhadap penjenayah berkenaan.

“Dalam menghadapi penjenayah, polis ada hukuman tetap sendiri. Kita ada peraturan undang-undang dan polis tidak boleh bertindak dengan cara mereka sendiri.

“Setiap anggota polis boleh menggunakan kekerasan sehingga membawa kepada kematian apabila dalam keadaan dia mempertahankan diri dan orang awam terutamanya dalam kes-kes jenayah seperti bunuh, rogol, rusuhan dan sebagainya,” katanya dalam rancangan Soal Jawab terbitan TV3 malam tadi.

Pengarah Eksekutif Berita Media Prima Berhad, Datuk Ahmad A Talib merupakan perantara rancangan tersebut.

Bagaimanapun, Musa berkata, setiap kematian orang awam atau penjenayah akan direkodkan dan siasatan akan tetap dijalankan, sekiranya anggota polis dilihat cuai atau lalai ketika menjalankan tugas mereka boleh didakwa di mahkamah.

“Kita melihat terlebih dahulu bagaimana anggota kita melepaskan tembakan sama ada justifikasi atau tidak dia menggunakan kekerasan sehingga membawa maut.

“Kalau dia menggunakan kuasanya secara berlebihan, kita akan mencadangkan supaya dia akan dituduh di mahkamah.

“Tetapi sekiranya anggota itu melepaskan diri untuk menyelamatkan diri, dalam undang-undang menyatakan dalam kes sebegini orang itu tidak bersalah,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak melanggar sekatan yang dibuat oleh pihak polis bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini.

“Kalau orang awam ini bertindak melanggar sekatan polis maka ini menimbulkan perasaan syak wasangka dan polis mungkin ingat mereka adalah penjenayah yang cuba melarikan diri.

“Jadi dalam kes ini apabila polis melepaskan tembakan dalam keadaan ini tidak salah kerana ia mempertahankan diri dan untuk menangkap penjenayah,” katanya.

Beliau berkata, polis perlu melepaskan tembakan sehingga penjenayah itu mati dalam usaha menyelamatkan mangsa dalam kes-kes seperti rogol dan bunuh kerana sekiranya mereka tidak bertindak PDRM juga akan dipersalahkan.

“Saya merayu kepada pihak-pihak yang berkepentingan terutamanya orang politik, saya tidak mahu negara ini menjadi huru-hara seperti apa yang berlaku kepada negara jiran kita.

“Kalau dah huru-hara tak ada gunanya, sebab itu kita perlu kawal negara ini daripada peringkat awal,” katanya.

Musa berkata, sejak beberapa tahun kebelakangan ini seramai 140 orang pegawai polis mati ketika bertugas dan tahun ini sahaja seramai 15 anggotanya meninggal dunia ketika sedang bertugas kerana ditembak atau ditikam oleh penjenayah.

“Kita ada prosedur-prosedur tertentu sekiranya nyawa anggota terancam atau nyawa orang awam terancam, mereka boleh menggunakan kekerasan dengan sewajarnya termasuk menggunakan senjata api untuk menangkap penjenayah tersebut,” katanya.

Jelasnya, masyarakat perlu faham apabila mereka berhadapan dengan polis mereka mesti mengikut arahan dan peraturan polis.

“Saya boleh dedahkan IGSO kepada orang ramai supaya mereka faham apa yang perlu dilakukan apabila berhadapan dengan polis,” katanya.

Sebelum ini Musa dilaporkan berkata, PDRM bersedia mendedahkan IGSO mengenai kaedah penggunaan senjata api jika diarah, supaya orang ramai faham apa boleh dan dilarang dilakukan polis.

Minggu lalu, seorang polis berpangkat koperal, Jenain Subi, 48, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam, terhadap pertuduhan menyebabkan kematian remaja berusia 15 tahun, Aminulrasyid Amzah, akhir bulan lalu.

Aminulrasyid ditembak mati apabila dia dikatakan cuba mengundurkan kereta dan memandu laju ke arah salah seorang polis di Seksyen 11, Shah Alam pada 26 April lepas.

Kejadian pada pukul 2 pagi itu berlaku selepas dia bergesel dengan kenderaan lain, memandu laju dan melanggar beberapa lampu isyarat sebelum ditahan kereta peronda polis.

Artikel Berikut

Artikel Lain